Showing posts with label zalim. Show all posts
Showing posts with label zalim. Show all posts

19 August 2012

Ulamak

Waktu seorang guru pondok mengeluarkan kenyataan panas tentang haram hukumnya menyokong DAP kerana mereka kafir harbi, MCA dengan berani mengeluarkan kenyataan "Pilih kami, kami akan halang jadi negara Islam" 

Senyap sekali ulamak yang makan gaji. Tuan-tuan mufti pun tak berani nak bersuara takut hilang jawatan. Apa lagi guru pundok yang baru dapat RM2 juta untuk pondoknya. Kalau kena tarik balik duit tu macam mana?

Sumber: facebook

Ulamak-ulamak yang menggunakan hadis :

“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. 
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

...adakah mereka cuba menggambarkan bahawa rasulallah saw menyuruh kita mentaati pemerintah yang zalim. Adakah hadis salah atau tafsiran manusia yang salah?

Ada lagi satu ayat Al-Quran yang berkaitan dengan ini.

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. (an-Nisaa 4: 59)

Ayat ini ditafsirkan seperti, "silalah taat pada pemerintah walaupun mereka zalim", walhal tiada dalam nas Al-Quran yang menyebut orang Islam wajib mentaati dan mengikuti pemerintah yang zalim. Bagaimana pula dengan hukum seorang yang mati mempertahankan hak mereka? Bukankah itu dikira mati syahid? Bagaimana jika rakyat mempertahankan hak mereka dari pemerintah yang zalim? Adakah ini dikira salah?

Jika tafsiran ini kekal digunakan oleh ulamak-ulamak di timur tengah seperti Syiria, Mesir dan Libya, barangkali pemimpin mereka terus kekal bermaharajalela menyembelih tengkuk rakyatnya. Sebab rakyat perlu taat biarpun kepada pemimpin yang zalim, tak boleh lawan, tak boleh bersuara.

Menolak satu huruf ayat Al-Quran dan menolak apa saja hadis dikira keluar daripada Islam. Mencerca, memperlekehkah Al-Quran dan hadis juga dikira keluar daripada Islam. Tapi bila seorang pemimpin Islam mengatakan bahawa dia tidak akan ikut hudud dan bersekongkol dengan satu pertubuhan yang memang anti hukum Islam, apa kejadahnya? Itu bukan satu huruf Al-Quran lagi dah. 

Ulamak makan gaji sering menekankan bahawa Islam melarang umatnya berpecah belah, tapi mereka tak pernah sekali pun tegaskan bahawa yang batil tidak boleh bercampur dengan yang hak. Mereka menggesa yang batil dan yang hak bersatu untuk keamanan. Bolehkah? Mereka memperlekehkan orang yang telah lama berjuang untuk menegakkan Islam hanya kerana pengikutnya yang taksub dengan parti. Kononnya pemimpin-pemimpin yang ingin menegakkan Islam ni tak nak bersatu padu dengan pemerintah sekarang dan menggalakkan perpecahan dikalangan umat Islam. 

Orang sebegini tak dapat aku nak hormati kerana kerana pada pendapat aku mereka jauh tersasar. Fikirlah jika tafsiran berdasarkan ayat-ayat di atas digunapakai waktu British memerintah Tanah Melayu, apa jadi? Kenapa orang Melayu bangkit berdemo menentang British sewaktu menuntut kemerdekaan sedangkan berdemo itu bukan ajaran Islam? Mengapa menentang British sedangkan British adalah pemerintah yang membawa kemajuan kepada Tanah Melayu satu masa dulu? Jika tafsiran sebegini diguna pakai, sia-sia sajalah perjuangan Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain-lain kerana menentang pemerintah menggunakan kekerasan. British adalah pemerintah Tanah Melayu dulu dan semua yang menentang British adalah salah kerana hukumnya haram menentang pemerintah.

Jangan jadi rakyat yang bodoh hanyan mengikut saja. Zaman sekarang, kita bukan nak lawan pemerintah guna pistol atau senapang, bukan nak lawan guna parang atau beradu kekuatan tapi kita nak tuntut hak kita sebagai rakyat untuk mendapat yang lebih baik. Untuk menolak rasuah dan korupsi yang menjadi amalan sejak dulu. Salahkah? Salahkah wahai sang ulamak yang berfikiran sempit, takut hilang jawatan dan sebagainya?

Bukannya kita taksub pada sesebuah parti, bukannya kita bergantung harap pada mereka tapi jika peluang untuk mengubah nasib ada depan mata, apa salahnya digunakan? Adakah negeri Selangor rakyatnya menderita sebab pilih kerajaan baru? Adakah orang Islam di Pulau Pinang tak dibenarkan ke masjid lagi untuk bersolat dan sebagainya? Jangan butakan mata jika hati telah buta. 

Hadis di atas boleh dan tidak salah jika ditafsirkan pada keadaan yang lain seperti seseorang yang diamanahkan untuk menjaga anak yatim, atau yang sama keadaannya. Orang tua kita pun penguasa juga, bapa angkat kita yang menjaga kita pun kategori penguasa juga. Janganlah samakan penguasa tu sebagai pihak pemerintah sesebuah negara saja. Jika tak mahu menghormati PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tak mengapa, tapi hormatilah Tuan Guru-Tuan Guru yang berjuang di dalam pertubuhan itu. Jangan perlekehkan usaha mereka. Benar, PAS dibenci kerana pengikutnya yang taksub. Bukan semua pemimpin dalam parti tu bersikap seperti Tuan Guru-Tuan Guru mereka, itu kenalah faham. 

Golongan ulamak yang pentingkan jawatan, wang ringgit dan status seperti inilah sebenarnya menjadi punca perpecahan dikalangan umat Islam negara ni. Mereka takut untuk menegur pemerintah, jadi mereka terpaksa mencari jalan bagaimana untuk membenarkan dan menampakbaikkan perkara zalim yang dilakukan pemerintah. (zalim=meletakkan sesuatu tak kena pada tempatnya).




08 June 2012

Kebudak-budakan II

Baru sehari TPM umum langkah pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel adalah adil, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik pembekuan tersebut. 


Pada pendapat aku, manusia yang bagi idea untuk bekukan PTPTN inilah sebenarnya yang cuba untuk sabotaj kerajaan. Idea buruk lagi hodoh sebegini akan membuatkan orang ramai membenci kerajaan. Peliknya, kenapa orang sebegini terus dibiarkan dalam kerajaan? 

Jika idea yang bernas diberikan kepada kerajaan dalam membantu rakyat, Pakatan Rakyat tiada isu lagi yang boleh dibangkitkan. Mengapa mereka tak berfikir?

07 June 2012

Kebudak-budakan

Kali ni mereka betul-betul main kasar. Membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar baru Unisel dilihat sebagai satu tamparan buat Pakatan Rakyat untuk membuktikan yang mereka mampu memberikan pendidikan percuma kepada pelajar. Mungkin sesetengah orang memandang wajar perkara ni, tapi dari sudut etika memang cara ni macam cilaka. 

Pelajar baru yang mendaftar, tak tahu apa-apa, tanpa notis, tiba-tiba tak boleh nak bayar yuran. Mereka jadi mangsa untuk dendam politik. Cara yang sungguh bodoh dan kebudak-budakan. Lihat saja apa komen Menteri Pengajian Tinggi. Lihat pula Menteri Asas Tani kata apa? Orang macam ni kamu nak sokong dan beri undi? Bodoh sungguhlah Melayu ni, jika ya. 



04 June 2012

Dunia

Aku mula nampak dunia sebagai tempat yang kejam dan keji untuk didiami. Manusia pula lebih teruk daripada haiwan kerana syaitan diri telah mengatasi kesyaitanan iblis itu sendiri.

Apa yang ada pada dunia sehingga menjadikan manusia suka padanya hanyalah perhiasan yang mengaburi pandangan saja. Ibarat sang puaka hutan yang menyamar menjadi wanita cantik dan berpakaian menarik menggoda sesiapa saja lelaki yang memandangnya.


12 May 2012

Kiamat Semakin Hampir

Jika membaca al-quran di dalam masjid pun tak boleh kuat-kuat kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain, maka apa kejadahnya pula pasang nasyid ataupun mengaji kuat-kuat melalui speaker di surau-surau atau masjid-masjid? Bagi mereka yang mentafsir kata-kata ni melalui akal semata-mata pasti marah gila. Lantak koranglah.

"Lakum di nukum waliyadin..."

Apabila ilmu diangkat perlahan-lahan daripada manusia, mereka langsung tak menyedarinya. Sebaliknya mereka berasa ilmu semakin bertambah dan ibadat mereka pun cukup untuk diri mereka sendiri sedangkan mereka langsung tak mengenali siapa yang mereka sembah lima kali setiap hari. Anggapan mereka, apa yang mereka lakukan telah cukup baik dan sempurna sekali buat kehidupan mereka. Mereka merasakan dengan nikmat kekayaan dan kesenangan yang mereka miliki adalah tanda Tuhan merahmati mereka. Sedangkan mereka lupa, kekayaan dan kesenangan juga adalah satu ujian buat mereka.

Mereka menyangka dengan membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap segala maksiat yang berlaku di depan dan sekeliling mereka sebagai tanda bersyukur dan memandang keji terhadap orang lain yang bersuara menentang kezaliman. Orang-orang yang menuntut hak masing-masing dianggap tak bersyukur dan mengenang budi. Adakah zaman para nabi dan sahabat semuanya mereka kelihatan kaya dan senang dengan kekayaan mereka?

Cucu Umar Al Khattab, Umar Abd Aziz sendiri apabila meninggal dunia tak mewarisi apa-apa harta buat anak dan isterinya. Katanya, cukuplah Allah yang menjaga mereka. Zaman para sahabat yang lain juga, siapa yang paling kaya? Adakah mereka kelihatan mewah? Orang-orang yang seperti mereka tak ada kebimbangan langsung terhadap harta dan nikmat dunia. Mereka hidup seperti orang kebanyakan di zaman mereka walaupun darjat mereka jauh lebih tinggi dan mulia.

Kita adalah umat akhir zaman dan kata-kata rasulallah tu semuanya benar. Tanda-tanda umat akhir zaman yang baginda sebutkan juga adalah benar dan kita sedang melaluinya. Apabila fitnah bermaharajalela, pemimpin yang diangkat adalah terdiri daripada golongan orang yang zalim, rasuah menjadi amalan hidup, jurang antara si miskin dan si kaya bertambah, riba pula semakin mendapat tempat disegenap ruang kehidupan, peperangan di sana sini, kutuk mengutuk sesama Islam, gempa dan bencara alam kerap terjadi dan banyak lagi.

Hanya tanda-tanda besar saja yang menunggu masa untuk kelihatan kerana hampir semua tanda-tanda kecil kiamat telah ada. Ramai menyangka bahawa mereka telah kembali kepada Islam tapi sebenarnya ramai menjauhinya secara perlahan-lahan. Islam yang diamalkan adalah Islam sangkaan diri sendiri, bukan lagi yang original kerana Islam yang original adalah Islam yang mengenali siapa Tuhan, siapa makhluk.



19 April 2012

PTPTN 2

Sayang sekali ada juga di antara rakan-rakan aku yang masih berfikiran bahawa PTPTN tak wajar dihapuskan. Sayang kerana mereka sendiri tak faham. Seperti yang aku kata, bila mansuh PTPTN tiadalah yuran pengajian di IPT. Sekiranya ada, maka kerajaan terpaksa memberi biasiswa. Negara kafir boleh buat, negara kita yang mengaku Islam tak boleh buat? Sebab apa? Sebab pemimpin kat atas sana lebih mengutamakan berapa banyak duit yang mereka boleh rembat sewaktu pangkat dan kuasa masih ada.

Lihat saja siapa pemimpin dan bekas pemimpin kita yang mana hidup serba sederhana? Hampir tiada. Semuanya kaya-raya hasil daripada kebodohan rakyat yang disogokkan dengan pelbagai teori karut-marut. Teori yang kononnya negara muflis jika tanggung yuran pelajar, muflis kerana beri subsidi dan macam-macam lagi. Berjuta malah berbilion hasil negara dirembat oleh mereka (pemimpin) tak pula kita muflis? Kos perunding sebuah kapal selam lebih mahal daripada harga kos kapal selam? Dana pinjaman ternak lembu digunakan untuk membeli hartanah dan kenderaan, melancong serta bayar kad kredit. Ada disuruh bayar balik? Sewaktu siasatan dilakukan, adakah aset-aset mereka yang berkenaan dibekukan? Tiada dan tiada. Sebaliknya mereka yang terlibat bertungkus-lumus melupuskan aset yang telah dibeli agar kelihatan seperti tidak ada apa-apa kesalahan serius yang berlaku. Inilah jenis orang yang kita angkat sebagai pemimpin.

Ada orang solat siang malam tapi masih buta. Sama seperti buta hati tak mengenal Tuhan, sembah ikut dan saja. Bila tanya kenapa solat? Jawabnya ibubapa pun solat, ikut sajalah. Kalau begitu apa bezanya dengan si apek yang menyembah topekong? Apek melakukan syirik yang jelas nampak /kelihatan manakala mereka yang solat tapi tak kenal Tuhan melakukan syirik yang tak nampak. Bagaimana pula ulama wahabi boleh berkata syirik tak nampak (halus) tak mengapa dan diampunkan sedangkan nabi pernah berkata tak diterima amalan seseorang yang ada syirik walau sebesar zarah sekalipun? Syirik apa pulak yang sebesar zarah tu? Syirik micro?

Masyarakat kita terlalu takut untuk berubah, terutama masyarakat Melayu kampung. Mereka cukup takut nikmat yang mereka ada sekarang hilang. Dahulu mereka hidup susah, dan kini dikurnia rezeki lebih jadi mereka bimbang jika semua tu ditarik balik. Mereka tahu bahawa Tuhanlah yang mengurniakan rezeki tapi mereka cukup bimbang jika pemerintah sekat rezeki mereka. Seolah-olah rezeki daripada Tuhan tu berupaya disekat oleh orang lain sepertinya jika Tuhan nak beri rezeki tapi disekat oleh orang lain, maka rezeki tu takkan sampai. Disogok pula dengan isu bersyukurlah dengan apa yang ada.

Jangan cemarkan isilah bersyukur tu seperti bodoh atau bahalul. Jika hak seseorang diambil, maka wajib baginya sebagai seorang Islam mempertahankan haknya, bukan buat bodoh saja. Bersyukur pada Tuhan bukan bererti berterima kasih pada mereka yang zalim. Di mana hak seorang kanak-kanak yang perlukan kualiti kehidupan yang lebih baik sekiranya pemimpin sibuk berlumba-lumba menghimpunkan harta untuk diri dan keluarga? Di mana pula hak seorang pelajar untuk mendapatkan pendidikan secara percuma di negara tanah tumpah darahnya? Penjajah yang menjajah pun pernah memberikan pendidikan percuma kepada bangsa kita, tapi kita? Sejarah dah ada depan mata pun masih tak nampak. Apa makna Penang Free School? Apa tujuan sekolah ni ditubuhkan? Siapa yang tubuhkan? Melayukah?

Bila kezaliman nampak seperti satu kemuliaan maka zaman ni betul-betul telah hampir kepenghujungnya. Tambahan pula si zalim diangkat menjadi pemimpin, lagilah huru-hara. Adakah aku menentang kerajaan? Atau aku sekadar tidak bersetuju dengan dasar yang mereka laksanakan?

Masa berlalu pantas. Kita yang hidup dizaman ni merasakan kita lebih Islamik daripada orang-orang sebelum kita. Hakikatnya Islam yang dianuti oleh kebanyakan masyarakat kini hanyalah Islam ikut-ikutan sahaja. Kalau mereka mengenali siapa Tuhan mereka, tentu mereka tak berani melakukan seperti apa yang mereka telah lakukan. Fitnah orang siang malam, aibkan orang tu sekali dengan keluarganya. Bila mahu dibicarakan, tak cukup pula bukti. Tapi Melayu terus percaya. Apalah ertinya solat 5 waktu tu kalau hati masih buta? Apalah ertinya menyembah jika tak kenal langsung siapa yang disembah?

Bila pemikiran telah lama dijajah oleh cara hidup yang mengikut apa saja kehendak orang lain, memanglah susah untuk keluar daripada kebiasaan tu. Ramai yang melihat dahulu mereka hidup susah dan kini mereka telah senang sedikit maka itu satu kejayaan. Tahukah kita apa pula nasib anak cucu kita di masa depan nanti? Apa yang kumpulan pelajar di Dataran Merdeka tu tuntut adalah untuk kesenangan anak cucu kita juga, mengapa bodoh sangat masih tak nampak lagi?

Negara Malaysia secara teorinya sepatutnya kelihatan lebih kaya daripada Singapura, tapi mana kekayaan negara kita? Air, balak, petroleum, kelapa sawit, getah, semuanya tiada di Singapura tapi mereka di sana lebih maju daripada kita. Kenapa? Mereka bijak menguruskan kewangan negara mereka dan pemimpin kita pula bijak menyembunyikan kegiatan mereka sepertinya sambil menyelam minum air.

Jika agama dijadikan candu (konsep bersyukur kepada kezaliman) maka memang selamanya masyarakat akan hidup dalam kebodohan dan ditipu. Jika pemimpin benar-benar sayangkan Melayu dan ketuanannya mereka patut sedar satu hari nanti kebenaran akan bangkit jua mengatasi kebatilan. Biar 10, 20, atau 30 tahun lagi kebenaran tetap mengatasi segala-galanya. Anwar Ibrahim difitnah sejak 1998, dimalukan sehingga sebegitu rupa, siapa sangka beliau masih lagi bertahan dan popular sehingga kini? Siang malam, 7 hari seminggu, 365 hari setahun selama 14 tahun, semangatnya masih kental dan tak pernah berputus asa.

Tak perlu timbulkan soal ada pelajar yang malas nak belajar dan tak perlu tanggung pelajar jenis ni. Cuba ingat semula sebelum bersekolah, kita semua juga bodoh, buta huruf dan tak tahu apa-apa. Tapi sekarang bagaimana? Siapa kamu untuk menghukum seorang yang bodoh dan pemalas tak boleh berubah apabila diberi peluang untuk belajar? PTPTN nampak seperti membantu tapi sebenarnya satu perniagaan yang menguntungkan. Ia cukup mudah. Kamu pinjam RM10,000 dan kamu bayar semula RM15,000. Apakah lebih RM5,000 tu? Dalam Islam yang sebenar, riba adalah haram tapi dalam Islam sekarang riba ditukar nama kepada keuntungan, faedah, kos pentadbiran, dan sebagainya. Ini adalah contoh riba pintu belakang yang jauh lebih zalim kerana menipu.

Letaklah apa nama sekali pun, haram tetap haram. Tapi itulah yang masyarakat Melayu kita nak. Itulah yang masyarakat Melayu kita fikirkan betul dan adil. Bila nak buat pinjaman semuanya menyerbu bank yang menawarkan pinjaman berlandaskan syarak. Jika benar-benar ikut syarak, tentu saja ia tak membebankan peminjam. Bila pinjam RM10,000 tapi bayar RM15,000 tak membebankankah? Belum nampak lagi?

Andaikan seseorang membuat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 selama 20 tahun dengan caj pentadbiran (faedah) 5% setahun. Selepas genap 20 tahun maka jumlah keseluruhan bayaran balik akan menjadi RM40,000. Bank yang menawarkan pinjaman ini mendakwa sistem ini mengikut syarak kerana sewaktu meminjam peminjam telah bersetuju (akad) untuk membayar mengikut jumlah yang ditetapkan. Apa akan jadi jika selepas 4 tahun buat pinjaman, peminjam ingin menlangsaikan terus pinjam secara 'lump sum'? Jika 5% tadi tak dipanggil faedah, macam mana pula mereka nak kira berapa jumlah yang perlu dibayar? Takkan nam masukkan juga jumlah keseluruhan RM40,000? Mesti ada rebet, bukan? Jadi rebet tu dikira bagaimana pun kalau bukan ditolak dengan 'interest'? Pusinglah kot mana pun, pakailah kata ganti nama apa pun, ia tetap riba dan riba tetap haram.

Jadi agak kelakar bila orang yang rasa dirinya faham agama, mengikut ajaran agama, menyokong PTPTN. Mereka kelihatan seperti badut yang terpinga-pinga tak tau apa pun. Malah ada yang jadi lembu, mengikut saja ke mana saja dia ditarik.






25 April 2011

kita...

Ramai member yang tegur 'wall' di FB aku agak pedas dan panas. Mereka risau aku kena tindakan. Aku lagi risau....

Aku bukan nak menentang sesiapa pun. Negara ni negara bebas. Negara aku juga, bukan negara kepunyaan bapak seseorang. Siapa yang pilih untuk berdiam diri, silalah diam saja. Aku pun tak mengutuk kamu.

Cuba kita tanya pada diri kita, inikah negara yang kita inginkan untuk anak cucu kita? Keadaan seperti inikah? Penindasan seperti inikah yang ingin kita wariskan? Belum kena memang tak bising. Dulu keluarga arwah Aminurrasyid pun tak suka Anwar. Mereka baca Utusan, tengok Buletin Utama. Mereka sokong sangat pihak yang sekarang mereka benci. Begitu juga keluarga arwah Sarbaini. Mereka tak puas hati apa lagi? Dulu waktu keluarga Teoh Beng Hock menuntut keadilan mereka tak ambil port pun. Kenapa? Sebab Teoh tu Cina dan nyawa seorang Cina takde nilaikah? Bukan ke dia pun makhluk tuhan? Sekarang mereka pulak nak tuntut keadilan dan berharap siasatan yang adil dapat dijalankan untuk membersihkan nama ahli keluarga mereka. Allah tak adilkah bagi mereka?

Ini semua pengajaran buat kita bangsa Melayu. Kezaliman depan mata kita diam saja. Tapi bila diri kita atau keluarga kita dizalimi, baru nak bising-bising tuntut keadilan. Ramai Melayu macam ni. Lihat saja orang lain kena pijak. Mereka menganggap itu bukan masalah mereka dan teruskan hidup dengan menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain. Tapi bila Allah uji mereka, baru mereka tau langit tu tinggi ke rendah. Baru mereka tersentak dan menangis. Nak mengadu kepada siapa? Siapa?

Maafkan aku kerana aku tak bermaksud untuk mempersendakan kedua-dua keluarga arwah. Aku cuma pinjam kisah mereka untuk dijadikan contoh saja. Betapa kita membiarkan kezaliman berlaku di depan mata begitu saja. Bila Allah biarkan kezaliman berlaku ke atas kita pula, kita rasakan itu tidak adil langsung. Siapa kita untuk mengatakan semua ini tidak adil?

Tak perlulah berdemo kalau tak mampu. Tak perlu menjerit sana-sini. Cukuplah kita buat sekadar yang termampu untuk menunjukkan kita benci kepada kezaliman ini. Itu saja. Salah ke?