Showing posts with label pendamping. Show all posts
Showing posts with label pendamping. Show all posts

07 October 2013

Qarin

Apa yang aku tulis ini adalah pendapat aku semata-mata berdasarkan pengetahuan yang ada pada aku. Tidak bertujuan untuk membandingkannya dengan pendapat/pandangan orang lain untuk mencari siapa lebih benar, siapa lebih salah. Mungkin saja ia berbeza dengan kelaziman hidup dan pengetahuan orang lain.


Bersama dengan seorang manusia terdapat dua lagi makhluk lain yang namanya kita semua biasa dengar, Qarin.
Qarin/Si Pendamping

Terdapat banyak buku yang menerangkan apakah Qarin dan siapakah Qarin ini sebenarnya. Namun berapa ramai orang yang betul-betul mengenal Qarin bercerita mengenainya?

Qarin manusia terdiri daripada dua, satu bersuku jin dan satu lagi bersuku malaikat. Suku jin sentiasa menyuruh ke arah kejahatan dan suku malaikat sentiasa menyeru kepada kebaikan. Sudah tentu mereka ada namanya masing-masing (sila cari jika berminat).

Lalu apakah gunanya mengenali Qarin ni? Jika tak kenal, maka mana nak datangnya cinta? 

Terdapat cara-cara tertentu untuk berhubung dengan Qarin diri. Dengan ini manusia mula mengenal siapa yang selalu mendampinginya 24jam tanpa henti sampai mati. 

Mereka yang tahu hal selok-belok Qarin ni kebiasaannya menjadi ketua dalam kumpulan, masyarakat, pemimpin dan tokoh-tokoh besar (bukan semua). Pengamal perubatan tradisional/bomoh juga boleh mengetahui serba-sedikit tentang hal-ehwal pesakitnya melalui Qarin si pesakit. 

Kedua-dua Qarin ini menempati di dua tempat yang berbeza di batang tubuh manusia. Satu di kemaluan dan satu lagi di ubun-ubun.

Qarin dari suku jin terbentuk sejak bayi dalam kandungan lagi (apabila kandungan mencapai umur tertentu). Ia terbentuk dari kotoran/buangan bayi. Secara hakikatnya ia telah berada di persekitaran alam bayi sewaktu bayi masih lagi dalam kandungan, walaupun tidak kukuh. Dialah yang membisikkan segala perkara/ancaman kepada si bayi hinggakan bayi ada kalanya berasa cemas dan takut dalam kandungan (pasti ada saja yang mempersoalkan, bayi ada perasaan kah sebelum lahir? Persoalan yang anda harus jawab, adakah bayi hidup sewaktu dalam kandungan?)

Qarin dari suku malaikat tercipta sewaktu pertama kali si bayi mendengar azan/qamat. Atas sebab yang demikian bayi yang lahir perlu segera di azan/qamat kan agar perbezaan usia Qarin suku jin dan Qarin suku malaikat tidak terlalu ketara jaraknya. Perbezaan umur inilah yang akan mempengaruhi Qarin mana yang akan lebih berkuasa ke atas batang tubuh seseorang manusia. 

Kedua-dua Qarin tidak akan ikut manusia ke alam kubur. Bila manusia mati, ia tetap ada. Mereka yang mempunyai ilmu tentang ini dapat berhubung dengan si Qarin tadi lalu ada saja yang menganggapnya sebagai ruh si mati dan sebagainya. Makhluk yang mengikut manusia sepanjang hidupnya pasti saja mampu meniru karektor tubuh badan, perangai, suara dan yang bersangkutan dengan manusia tadi. 


Biasa mendengar orang berkata, "Sihat wal afiat"? Di situ ada perkataan yang sering dipandang remeh tetapi mempunyai seribu satu makna. Orang Melayu dulu-dulu bukannya bodoh seperti yang ramai sangka. Mereka bijak dan kaya dengan ilmu dunia dan akhirat.






11 February 2012

khadam

Tentu ramai yang pernah dengar tentang "KHADAM". Ia berbeza dengan "PENDAMPING". Pada pendapat aku, biasanya pendamping lebih kepada makhluk belaan, atau dengan perkataan orang dulu-dulu, "SAHABAT". Dah tentulah terdiri daripada golongan jin kafir. Golongan hantu raya, pelesit, penanggal, hantu tinggi (galah) dan seangkatan dengannya dipanggil 'sahabat' saja. Mereka memang mendampingi orang yang memberi mereka upah/makan. 24 jam sehari, mengekor saja ke mana tuannya pergi. Kadang-kadang sentiasa saja ada kat sebelah.

Khadam terdiri daripada makhluk berupa jin atau malaikat yang datang apabila diseru. Jin yang dimaksudkan bukanlah sebarang jin. Ia merupakan jin yang kuat, tinggi ilmunya (sakti), dan baik budi pekertinya (menurut perintah Tuhannya).

Ada juga orang menggelarkan khadam pada orang suruhannya, pembantunya ataupun pekerjanya. Maksud khadam dari segi bahasa adalah pembantu. Jadi, khadam yang dimaksudkan boleh jadi jin, malaikat, orang suruhan, makhluk belaan dan lain-lain berdasarkan tafsiran masing-masing.

Setiap huruf, setiap ayat dan setiap surah dalam al-quran ada khadamnya. Khadam tiada kuasa melainkan daripada Allah jua. Jika kita fahami betul-betul sifat 20, maka tiada salahnya menggunakan khidmat khadam. Tapi yang menjadi salah ialah bila mana kita merasakan bahawa khadamlah yang menyembuhkan penyakit yang diubati. Sama seperti panadol. Jika seseorang yang demam/kurang sihat beranggapan bahawa panadol boleh menyembuhkan/ mengurangkan sakitnya, maka automatik jatuh syirik. Mana mungkin panadol menjadi sekutu bagi Allah?

Ada orang pertikaikan apabila meminta atau mengambil sesuatu mengapa perlu meminta izin terlebih dahulu? Orang seperti ni beranggapan semua benda adalah milik Allah dan mengapa perlu minta izin daripada makhlum lain? Jika kita ingin mendapatkan sesuatu yang merupakan hak orang lain, bolehkah kita terus mengambilnya tanpa meminta izin daripada tuannya terlebih dahulu? Soal minta izin tu adalah adab dan kita diajar supaya menjadi makhluk yang beradab.

Ada juga yang mempertikaikan mengapa minta pertolongan daripada khadam dan bukan daripada Allah? Jika begitu, mengapa pula ada orang minta anaknya belikan sesuatu di kedai dan tidak meminta terus daripada Allah? Bukankah meminta anak pergi ke kedai ibarat mengharapkan pertolongan si anak dan bukan pertolongan Allah? Mengapa tak dipanggil meminta pertolongan anak atau kawan dikira syirik?

Itulah persoalan yang sering dilontarkan daripada mereka yang kurang memahami. Mereka lebih senang menjatuhkan hukum daripada cuba belajar sesuatu. Ilmu Allah maha luas, mengapa sempitkannya mengikut citarasa sendiri?

Berbalik kepada cerita tentang khadam tadi. Manusia bukanlah siapa-siapa yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana khadam mengikut kehendaknya pada bila-bila masa yang dia suka. Ia adalah satu bentuk pertologan daripada Allah juga. Siapa yang menjadikan makhluk lain (khadam) tunduk kepada kata-katanya? Khadam bertindak atas keizinan Allah dan bukan atas kemahuan nafsu kita semata-mata. Jika ada manusia yang mampu memerintah khadam, maka tiada siapa pun dapat menafikan kekuatan pertolongan Allah itu. Lihat saja kisah nabi Sulaiman a.s. Betapa semua makhluk tunduk dan patuh kepada baginda.

Apa pun janganlah sampai seorang itu berasa lemah apabila tiada khadam datang membantu waktu diseru. Jika ini berlaku, orang itu secara tidak langsung telah meletakkan satu harapan/penggantungan untung nasib ke atas makhluk dan ini adalah jelas menyekutukan Sang Pencipta. Wallahualam...