Showing posts with label perawat. Show all posts
Showing posts with label perawat. Show all posts

24 December 2012

Hati-hati


Hati-hati apabila secara tiba-tiba didatangi mimpi berupa seorang tua yang mengajarkan ayat-ayat al-quran dan tak lama kemudian mampu menjadi perawat hasil daripada bimbingan mimpi tersebut. 

Ini kerana ada segolongan jin suka tengok manusia beribadat kerananya. Bila nampak manusia yang rajin solat, sedekah dan baik hati, mulalah si jin ni akan datang mendekati. Kelazimannya adalah melalui mimpi.

Dari situ, si jin akan mengajarkan manusia ni cara-cara berubat dengan menggunakan ayat-ayat al-quran dan ramuan-ramuan tradisional yang lain. Bermula dari dalam mimpi hinggalah dia hadir apabila diseru. Pantang larang utamanya ialah tak boleh meninggalkan solat. Disamping itu diselit juga beberapa pantang-larang lain yang tanpa disedari itu adalah arahan jin.

Sekilas pandang memanglah baik. Jin menolong manusia untuk menjadi perawat, supaya manusia tu boleh menolong manusia lain dan membuat kebajikan. Tapi dimana keikhlasan amalan-amalan yang baik tadi jika dilakukan kerana takut hilang kemampuan untuk merawat? 

Secara tak langsung, kebergantungan kepada Tuhan telah hilang perlahan-lahan dan manusia telah dikaburi oleh jin sekali lagi dengan cara yang sangat halus. 

Ingatlah, dalam keadaan apa sekali pun darjat seorang manusia itu lebih tinggi daripada makhluk lain. Siapa yang israk dan mikraj? Siapa yang mampu melihat azab dan siksa kubur? Siapa yang mampu berkata-kata dengan roh dan banyak lain? Jin tak mampu lakukan itu semua. Tetapi manusia mampu. Ilmu manusia tak terbatas dengan izin Allah.

Jangan sesekali biarkan golongan jin merendahkan martabat seorang insan dengan berkahwin dengan bangsa mereka, minta pertolongan daripada mereka dengan cara akur pada syarat yang mereka tetapkan.

10 June 2012

Kena sihir

Kenapa bila terkena sihir dan berubat tapi masih ada lagi sihir tu?

1. Sihir bukan sekali tembak saja. Kebanyakan sihir yang dilakukan atas sebab dendam kesumat sentiasa berterusan sama ada yang dituju mati atau yang menghantar dan yang mengupah mati dulu.

2. Rawatan kurang berkesan. Bukan semua perawat/bomoh/pawang mampu melawan sihir. Mereka yang berusaha mengubati sihir orang lain pasti akan diuji juga dengan bomoh yang menghantar sihir. Di sini, siapa kuat dialah yang akan bertahan dan menang.

3. Berubat dengan orang yang menggunakan akuan/sahabat/bantuan daripada jin kafir. Jin kafir ni hanya akan menambahkan lagi parah orang yang terkena sihir, bukan membantu pun.

4. Mempunyai saka. Orang yang disihir, jika mempunyai saka, maka sakanya akan bergabung dengan sihir tadi. Walaupun tujuan asal saka tu adalah untuk melindungi tuan empunya diri namun jika saka terbiar dan tak dijaga dah tentu akan makan tuannya.

Nabi S.A.W pun disihir, apatah lagi kita orang awam biasa ni. Jadi, lebih baik mengambil langkah berhati-hati. Bukanlah bermakna apabila kita memakai 'pendinding' kita akan selamat daripada sihir. Sesungguhnya tak bergerak suatu zarah pun melainkan dengan izin Allah jua. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengambil langkah-langkah yang perlu untun mencegah diri dan keluarga daripada terkena sihir. Umpama seorang polis memakai jaket kalis peluru. Bukanlah bermakna dengan memakai jaket ini polis tersebut takkan kena tembak tetapi kesan kena tembak dapat diminimumkan apabila memakai jaket ini. Macam tulah juga amalan pendinding diri. Sekurang-kurangnya kita mengambil langkah berjaga-jaga. 

Bukanlah aku nak mengagung-agungkan sangat sihir ni tapi tak salah rasanya kalau kita tahu serba sikit tentangnya. Ilmu sihir bukan terhad kepada tanam barang, puja patung, berkawan dengan jin kafir dan lain-lain lagi tapi ilmu sihir merangkumi penggunaan roh-roh hitam (roh orang yang semasa hidupnya memang mengamalkan ilmu hitam) seperti roh para sami buddha, roh para bomoh ilmu hitam handalan terdahulu dan penggunaan jin-jin sakti dari bangsa jin kafir seperti golongan ifrit dan seangkatan dengannya. Jin dapat hidup beratus malah beribu tahun, tentu saja mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang lebih banyak daripada manusia biasa. Jadi jangan pandang sebelah mata saja dengan mengatakan kitalah lebih hebat sebab kita adalah khalifah. Khalifah apa kalau hati masih dikawal nafsu dan iman baru sekupang dua?


03 June 2012

Ilmu bomoh

Semalam aku berbual tentang bomoh dengan seorang member lama. Bomoh, pawang, dukun, perawat, semuanya sama dari sudut fungsi tetapi cara adalah sangat berbeza. Ada orang gelarkan mereka doktor tanpa sijil.

Tak kisahlah apa orang kata, cuma mereka juga menyumbang kepada masyarakat mengikut ilmu dan kepakaran yang mereka ada.

Aku mengklasifikasikan bomoh, dukun, perawat dan senangkatan dengannya kepada beberapa golongan.

Golongan pertama.

Mereka yang mengubat penyakit menggunakan makhluk dampingan yang digelar 'sahabat'. Kalau tanyakan kepada ustaz-ustaz sekarang mereka terus jatuh hukum syirik aje tanpa sudi untuk mengkaji dengan lebih mendalam. Ada sebahagian bomoh yang berdamping dengan makhluk-makhluk halus ni untuk kepentingan mereka. Sebagai contoh, seorang lelakai bersahabat dengan hantu raya untuk menjadi kuat dan perkasa. Apabila dia meninggal dunia, hantu raya tu diwariskan kepada anaknya sama ada dengan sedar atau tanpa disedari. Ini yang dipanggil saka. Kalau harta dunia seperti wang, tanah dan material lain dipanggil pusaka. Saka boleh digunakan untuk tujuan perubatan bagi mereka yang pandai mengolahkannya. Boleh sini bukanlah bermaksud boleh dari segi hukum. Boleh yang dimaksudkan adalah 'tidak mustahil'.

Bab hukum, silalah bertanya kepada ustaz-ustaz yang suka menghukum orang. Jika si pesakit terkena gangguan makhluk halus lain yang lebih berpangkat rendah daripada hantu raya tadi, maka bolehlah lelaki ni mengubatinya menggunakan 'sahabat'nya tu. Tapi jika yang mengganggu tu adalah jin sihir berpangkat jeneral, memang cari nahas sajalah.

Golongan kedua.

Mereka yang mengubat penyakit berdasarkan rukyah (jampi menggunakan ayat-ayat al quran) semata-mata.  Caranya boleh jadi pelbagai. Mungkin dia baca beberapa potong ayat-ayat tertentu daripada al quran dan diulang-ulang sehingga si pesakit mula menunjukkan perubahan. Sebagai contoh, si perawat tadi akan mulakan bacaan dengan suara yang agat kuat dan lantang bertujuan untuk melihat gnagguan yang ada. Setelah beberapa lama, si pesakit akan mula tunjukkan perubahan seperti berpaling, bertukar suara menjadi parau, menangis, marah dan sebagainya.

Setelah ini berlaku maka perawat akan cuba untuk berdialog mencari punca masalah ni. Biasanya bagi perawat yang berpengalaman, mereka terus dapat mengagak jenis gangguan yang merasuk sama ada disihir, saka atau gangguan lain yang sekadar mengusik. Cara ni banyak digunakan oleh pusat rawatan Islam yang bermula dengan 'Darul"....

Sesiapa saja yang berminat bolehlah belajar dan menghafal ayat-ayat tertentu daripada si guru untuk tujuan rawatan dan benteng diri. Bayangkan jika perawat menerima lebih daripada 10 pesakit sehari, berapa jam diperlukan untuk merawat seorang pesakit jika perlu merukyah dengan panjang lebar? Dalam sesetengah keadaan, jin yang merasuk tak berada dalam badan si pesakit waktu rukyah sedang dijalankan. Dia tunggu kat pagar depan rumah si perawat je. Bila waktu pesakit nak balik, jin tu masuk semula ke dalam badan si pesakit dan keadaannya kembali sakit seperti sebelumnya.

Golongan ketiga

Mereka yang bersahabat dengan jin Islam. Sesungguhnya jin juga mempunya bangsa dan agama sama seperti manusia. Mereka juga memandu kereta mercedes dan bmw. Cuma ramai manusia menyangka golongan jin adalah mundur, pakai cawat, takde tamadun. Ketahuilah bahawasanya jin lebih ramai daripada manusia dan usia mereka lebih panjang daripada kita. Macam-macam mereka boleh buat dan belajar dengan umur yang sampai beribu tahun tu.

Bukan semua jin tu macam orang asli, mundur dan duduk dalam hutan saja. Bukan semuanya mampu terbang, ada jugak yang kena naik kapal terbang untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Bunyi macam kelakar, tapi itulah yang sebenarnya. Manusia saja rasa mereka lebih pandai, maju dan canggih daripada bangsa jin. Jin pun bayar cukai tau.

Ok, berbalik semua pada golongan ni tadi. Mereka yang merawat pesakit menggunakan jin-jin Islam mempunyai syarat dan garis panduan tertentu. Selain bersahabat dengan jin Islam, mereka juga menggunakan bantuan rijalul ghaib. Rijalul bermakna lelaki, ghaib adalah tak nampak. Ada pendapat mengatakan rijalul ghaib boleh jadi jin,malaikat ataupun rohaniah manusia. Hanya Tuhan lebih mengetahui.

Bersahabat dengan jin Islam juga kadang kala mempunyai pantang larang tertentu. Jika banyak melakukan maksiat dan kurang amalan, jin ini akan lari meninggalkan si perawat, bomoh, dukun atau pawang berkenaan. Bila jin lari, siapa lagi nak tolong perawat? Inilah kelemahan bagi yang bersahabat dengan jin Islam.

Sesetengah orang juga menganggap bunian adalah terdiri daripada golongan jin manakala sebahagian lagi berpendapat bahawa bunian adalah manusia yang dighaibkan. Terpulanglah pada pendapat masing-masing. Bersahabat dengan bunian juga terpaksa mengikut pantang-larang yang diberikan. Melanggar pantang-larang bermakna bunian tak dapat lagi membantu si perawat. Jadi bila si perawat terpaksa jaga pantang-larang semata-mata kerana si bunian atua jin Islam tadi, bukan lillahita'ala lagi.

Golongan keempat.

Perawat yang mengharapkan pertolongan Allah semata-mata. Tak takut kepada sebarang ancaman daripada alam ghaib. Perawat sebegini kebiasaannya tak buka pusat rawatan, tak mengaku pandai mengubat, tak menjadikan mengubat orang sebagai satu pekerjaan utama atau sambilan. Mereka sendiri tak suka dipanggil bomoh, dukun ataupun perawat. Mereka biasanya merawat ahli keluarga atau sahabat terdekat yang mengetahui kebolehan mereka saja. Jarang mereka nak letak waktu operasi apa lagi menuntut sejumlah bayaran tertentu bagi merawat pesakit.

Orang sebegini selalu saja bersikap 'low profile' dan masyarakat menganggap mereka tiada kebolehan luar biasa pun. Hanya orang-orang tertentu yang mampu menembusi pandangan ghaib saja dapat melihat kelebihan mereka.

Cara mereka mengubat juga mudah. Hanya menggunakan beberapa potong ayat al quran yang biasa dibaca dalam solat dan ayat yang dibaca hari-hari. Tak perlu ayat yang panjang-panjang. Sebagai contoh, cukup dengan membacakan ayat lanarjumannakum... berpuluh malah beratus ribu panah berapi berterbangan menerjah ke sasaran. Kalau tak panah berapi tunggu saja halilintar datang membelah. Begitulah hebatnya golongan yang menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah. Tak ada langsung kekhuatiran bagi mereka. Bila berhadapan dengan bangsa jin kafir yang mengganggu, mereka tak banyak bicara sebaliknya terus menggempur saja. Ini menjadikan nama mereka terkenal di alam sebelah sana. Amalan orang-orang sebegini tak lain dan tak bukan ialah berjaga malam (menghidupkan malam). Sewaktu kebanyakan manusia telah lena, mereka berjaga mencari keredhaan Tuhan mereka. Di waktu inilah mereka mengadu nasib seperti seorang kekasih kepada kekasihnya. 

Begitulah serba ringkas yang aku boleh terangkan berdasarkan apa yang aku tahu dan diberitahu. Jangan terlalu mudah menghukum seseorang tu syirik hanya dengan berdasarkan apa yang kita nampak. Kadang-kala perkara yang sebenar bukanlah seperti mana yang kita dapat lihat. Apa pun cara yang digunakan oleh bomoh, pawang, dukun atau perawat (yang ikhlas) tujuannya tetap sama, iaitu mendatangkan kebaikan, mencari jalan penyembuhan dan kesejahteraan kepada si pesakit. Jika mata kail baru panjang sejengkal, janganlah cuba menduga lautan dalam. Jika tiada ilmu dalam bidang ni jangan mudah menjatuhkan hukum kepada orang yang dah lama berkecimpung dalam hal-hal sebegini. Belajarlah.