23 May 2011

Jenayah

Ada orang bimbang nak keluar ke mana-mana sekarang ni kerana kes simbah asib berleluasa. Terus-terang aku katakan aku lebih bimbangkan polis yang salah guna kuasa berleluasa. Lihat saja arwah adik Aminulrasyid ditembak hanya kerana memandu tanpa lesen. Bukankah itu lebih menakutkan daripada kes simbah asid sekarang ni? Polis bebas melakukan apa saja dan apabila mereka tersilap membuat pertimbangan, walaupun melibatkan nyawa orang awam yang tak bersalah, mereka sentiasa saja ada alasan untuk menutup kekurangan tersebut.

Tindakan membawa si koperal keparat yang menembak tu memang dialu-alukan tapi lebih penting ialah pihak polis sepatutnya memperbaiki semula prosedur mereka apabila mula menembak. Kes tembak orang awam bukanlah satu dua, tapi dah banyak. Masalah orang awam pula ialah, bila polis yang salah, kita terpaksa adu pada polis juga. Serupa macam bila kita kena rompak, kita adu pada perompak lain pula.

Berkali-kali pihak polis mengeluarkan kenyataan berhubung kes simbah asid tapi orang yang terlibat belum pun ditangkap. Apa polis buat? Tangkap mat rempit suruh mengaku simbah asidkah? Jenayah semakin menjadi-jadi kerana penjenayah tahu mereka sukar ditangkap kerana polis lebih utamakan untuk menutup kes yang banyak. Maksudnya, tangkap 2-3 orang suspek, dera mereka sampai mereka mengaku. Kes selesai. Penjenayah sebenar teruskan kerja mereka. Inilah sikap polis yang buruk yang takkan mereka akui sampai bila-bila.

Siapa kata dalam lokap tiada penderaan? Tak perlu pergi jauh. Lihat DSAI bagaimana kena dera satu masa dulu. Lihat saja mendiang Kugen dibelasah hingga mati dalam tahanan. Tiada apa-apa tindakan pun oleh pihak polis. Sebabnya mereka yang belasah, mereka jugalah yang siasat. Takkan nak tangkap anggota sendiri dan jatuhkan integriti pasukan dengan mudah? Mereka perlu pertahankan walau apa sekali pun kesalahan pasukan mereka.

Jadi bila polis bodoh, penjenayah menjadi berani. Yang jadi takut ialah orang awam, yang terlalu meletakkan keyakinan mereka kepada pasukan polis yang sebenarnya korup ini. Bukanlah semuanya korup tapi telah menjadi prosedur mereka untuk mempertahankan anggota yang memang tak guna dalam pasukan. Tiada penambahbaikan langsung dibuat sejak kes menembak budak tempoh hari. Sebaliknya, orang awam pula ditempelak. Orang Melayu biasanya tak ambil kisah asalkan bukan keluarga mereka yang kena. Lihat orang Cina. Lihat Teoh Beng Hock punya keluarga. Mereka tuntut sampai sekarang. Ini benar-benar menyusahkan pihak kerajaan yang terpaksa melindungi dalang sebenar pembunuhan terbabit. Kenapa aku kata melindungi? Kerana yang terlibat pastinya VVIP dalam kerajaan juga. Teorinya sangat mudah. Bunuh di pejabat SPRM supaya SPRM bertanggungjawab dan pihak yang membunuh terlepas.

Polis pula apabila telah siapkan siasatan terpaksa pula menghantar kepada peguam negara. Peguam negara akan maklumkan kepada siapa? Siapa yang arahkan peguam negara untuk teruskan dakwaan atau minta pihak polis tukar hasil siasatan? JAdi dimanakah kebolehkepercayaan orang awam dalam sistem sebegini? Siapa yang bayar gaji peguam negara dan polis? Jadi peguam negara dan polis harus menurut perintah pihak yang membayar gaji mereka agar tidak dikenakan tindakan. Tahukan kamu bahawa jika seorang kakitangan kerajaan tidak menurut perintah pihak atasan, dia boleh dikenakan tindakan tatatertib ingkar perintah? Soal perintah itu wajar atau tidak bukanlah perkara pokok. Yang penting kena ikut perintah dan arahan.

Jadi, siapa yang lebih bahaya, polis atau penjenayah? Penjenayah dah memang kerja dia melakukan jenayah dan kita boleh mengambil langkah-langkah pencegahan. Tapi polis? Polis umpama penjenayah berlesen yang kalau kita cuba lawan, nahaslah kita. Mohon maaf kepada pasukan polis, tapi kamu lebih arif tentang ini. Sesungguhnya kadang-kala kebenaran tu amat pahit untuk ditelan.

No comments:

Post a Comment