03 July 2012

Keluarga

Sabtu lepas aku pergi baiki kereta di bengkel bawah pokok dalam semak. Sebelah bengkel tu ada kawasan semak yang sekangkang kera kemudian satu kawasan rumah kampung. Dalam kawasan tu ada satu rumah besar dua tingkat. Di bahagian depan ada satu rumah panjang dua pintu. Taklah besar mana, tapi bolehlah untuk dijadikan rumah sewa dua buah keluarga. Bahagian belakang rumah panjang tu bersebelahan dengan bengkel tempat aku baiki kereta, dipisahka oleh kasawan semak yang sekangkang kera tadi. Dari bengkel tu boleh nampak dengan jelas tingkap rumah dan pintu belakang. Malah tandasnya pun jelas sebab terletak di luar rumah.

Bunyi bising orang bercakap-cakap tu biasalah. Daripada suara si bapak, ibu, mungkin termasuk sedara-mara yang datang. Suara kanak-kanak juga meriah. Sekali-sekala terdengar suara si bapak menyumpah seranah mainan yang terpijak, ataupun memarahi anaknya dengan kata-kata yang kurang sedap di dengar. Tak dengar pulak suara si anak menjawab.

Kata-kata seperti, "celaka, gampang kau, bodoh, sial" menjadi kerap pulak. Mungkin kerana rumah sempit, anak ramai panas pulak tu maka hati pun cepat jadi panas. 

Apa yang boleh disimpulkan adalah mereka bukanlah sebuah keluarga yang senang. Rumah panjang sebegitu mungkin mempunyai maksimum dua bilik saja. Jika mak bapak satu bilik, satu bilik lagi untuk dikongsi bersama oleh anak-anak mereka. Besar mana sangatlah bilik rumah papan tu jika bilik rumah pangsa yang kat Kuala Lumpur tu pun sempit semacam.

Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan perbuatan ibubapa mereka. Tiba-tiba aku terfikir, apa yang budak-budak tu cakapkan di sekolah adalah kata-kata ibubapa mereka di rumah. Biasanya kanak-kanak daripada keluarga yang serba kekurangan majoritinya berkata-kata kesat, kuat mencarut dan berperangai tak senonoh. Minta maaf cakaplah, memang tu yang aku rasakan. 

Mungkin di rumah, si anak tak berani menjawab kata-kata ibubapa mereka tapi di sekolah mereka akan bercakap dengan meminjam kata-kata ibubapa mereka sendiri. Keruntuhan akhlak anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, kemudian bertambah parah bila bercampur dengan rakan-rakan mereka yang memang bermasalah. 

Mungkin kata-kata terbaik ialah, awasi anak anda, perhatikan dengan siapa mereka berkawan dan jangan cakap perkataan-perkataan yang tak elok di depan mereka. 

Tapi tu bukan tujuan aku menulis ni. Bukan untuk memberi nasihat percuma. Aku cuma berfikir, kenapalah masih ada keluarga yang susah lagi. Anak-anak ramai, tapi pendapatan keluarga cukup-cukup makan saja. Malah banyak jugak keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka masih hidup susah walaupun setelah sekian lama. 

Dulu pernah jugak seorang kawan aku cerita tentang sebuah keluarga yang baru saja berpindah ke sebelah rumah sewanya. Rumah tu sebenarnya rumah kampung tapi dibahagikan dua oleh pemiliknya untuk dijadikan rumah sewa dua pintu. Si bapak selalu tak balik rumah, katanya ada perempuan lain. Tak tahulah isteri kedua atau kekasih gelap. Anak ada 4 orang, paling besar perempuan tingkatan 3. Paling kecil setahun lebih. Anak yang sulung tu tak bersekolah, kerja tolong makcik jual goreng pisang waktu petang. Yang kecil menangis selalu menangis waktu malam minta buatkan susu. Mak pulak tengah sarat mengandung anak yang kelima.

Bila si kecil menangis minta susu malam-malam, si emak pula maki anak sulung suruh bangun buatkan susu. Kata-katanya janga cakaplah, memang kesat tak ingat. Kadang-kala kita semua berasa kesian dengan keluarga seperti ni. Kesian pada anak-anak yang masih kecil, tak tahu apa-apa. Mereka terpaksa memikul beban kesempitan rezeki daripada ibu bapa mereka. Kalaulah si emak bertimbang rasa, tentu saja dia takkan mengeluarkan kata-kata kesat macam tu pada anaknya. Tapi nak salahkan si emak sepenuhnya pun tak boleh jugak. Mungkin dia tertekan sebab si suami tak balik rumah, tidur dengan perempuan lain. Nak marah suami tak boleh, jadi dia lepaskan geram pada anak sajalah.

Nak salahkan si suami sepenuhnya jugak pun tak boleh. Mungkin si isterinya tak pandai jaga hati suami, tak pandai layan suami, asyik nak membebel saja. Mungkin juga kuat melawan. Kalau cantik takpe jugak, tapi bila badan pun dah macam badak, perangai pulak macam babun, mana si suami tahan. Itu yang dia pergi cari perempuan lain. Penyudahnya, masing-masing ada share dalam keruntuhan institusi kekeluargaan. Mangsa yang paling kesian ialah anak-anak. 

Bab suami isteri ni petuanya agak mudah. Sebagai seorang lelaki dan jugak suami, aku boleh bagitau tips untuk menambat hati suami. Tak semestinya perlu menjaga body biar kurus kering agar suami suka. Biasanya lelaki tak suka perempuan yang kurus kering. Mereka lebih suka perempuan yang berisi. 

Paling mustahak dalam menambat hati si suami ialah tingkah laku, kepatuhan & hormat pada suami. Isteri yang lemah-lembut, berkata-kata dengan manja dan tak melawan cakap suami memang menjadi kesayangan para suami. Ibarat orang yang dah kenyang, diberi lauk apapun dia takkan makan lagi. Samalah macam si suami. Jika isteri pandai menjaga semua ni, perempuan seksi menggoda pun si suami takkan layan.

Selain rupa-paras, bentuk badan dan warna kulit, terpenting sekali ialah budi. Budi adalah himpunan daripada tingkah laku, ketaatan, percakapan yang lemah-lembut, manja dan sebagainya. Tak kisah kalau anda seorang yang berisi atau gemuk, jika anda seorang yang taat dan patuh pada suami anda, takkan sampai hati si suami nak cari perempuan lain (melainkan nafsu seks yang melampau ataupun anda tak mampu memberikan zuriat).

Tafsiran lemah-lembut adalah pelbagai. Cuba kita lihat orang lama cara mereka memanggil sesama mereka suami isteri. Mengapa dibahasakan si suami tu abang dan si isterinya adik? Nampak macam kelakar, tapi sebenarnya daripada panggilan macam tu la terbit kasih-sayang yang tak berbelah bahagi. Kata-kata tersebut merupakan kata-kata manja dan lemah-lembut. Bandingkan dengan kata-kata seperti I & You. Ada kemesraan tak? Waktu bercinta bolehlah, dah kahwin lama-lama bosan. Ia menunjukkan suami dan isteri masing-masing mempunyai kedudukan dan hak yang sama rata. 

Ada orang gunakan kata ganti nama B, baby, ayang, sayang dan sebagainya. Terpulang mana yang selesa, tapi kalau boleh janganlah gunakan bahasa I & You tu. Bila gaduh senang nak sumpah seranah. 

Tiada perempuan dalam dunia (tak kirakah cantik mana, seksi mana, menggoda tahap apa sekalipun) dapat menandingi seorang isteri yang taat dan patuh pada suaminya. TIADA!





No comments:

Post a Comment