22 July 2012

Tak puasa

Baru sehari puasa dah ada yang sibuk bising-bising pasal nampak ada org Islam jual makanan waktu pagi & tengahari. Apa masalah jual makanan bulan puasa? Batal ke puasa?

Tindakan menjual makanan ni menyokong aktiviti tak puasakah? Yang tak puasa tu tetaplah tak puasa tak kira ada orang jual makanan atau tak. Kadang-kadang ada anak kecil yang perlu makan, apalah salahnya menjual makanan waktu pagi di bulan puasa ni? McD & KFC jual makanan dari pagi sampai ke malam takde pulak orang nak bising-bising?

Orang yang sibuk-sibuk mencari salah dan silap orang lain ni puasa perut je. Mulut dan hati tak pernah puasa pun. Majoriti ramai antara kita yang memang macam tu. Yang menjadi tak elok dipandang ialah makan dikhalayak ramai, bukannya membeli makanan. 

Bayangkan begini: Ada sekumpulan penguatkuasa yang menjalankan tugas bertanya kepada orang ramai berkenaan siapa belum solat. Siapa yang belum bersolat sampai terlepas waktu, maka ditangkap dan didenda. Betulkah cara ni? Hikmahkah cara ni?

Cara sebegini sebenarnya menjadikan Islam tu kelihatan sempit dan menekan. Sedangkan Islam yang sebenar bukan begitu. Masyarakat menjadikan Islam tu seperti mana yang mereka fikirkan baik sedangkan Islam tu jauh melangkaui apa yang mereka fikirkan.

Seperti di Pakistan, bagaimana sebahagian masyarakat di sana melayan golongan wanita mereka? Lihat saja ada yang dipotong hidungnya hanya semata-mata untuk mengelakkan lelaki lain menaruh hati pada wanita tu. Wanita tak dibenarkan menuntut ilmu sebagai mana kaum lelaki padahal mereka tu Islam. Mereka membuat Islam tu seperti mana yang mereka fikirkan bagus, walhal menjadikan Islam tu kelihatan mendiskriminasikan wanita, menindas kaum wanita dan menjadikan wanita seolah-olah golongan hamba abdi yang selayaknya menjadi pemuas nafsu seks dan melayan makan minum golongan lelaki saja.

Islam memang begitukah?

Satu lagi contoh. Lihat bagaimana penguatkuasa jabatan agama negeri yang menjalankan operasi khalwat. Baguslah ada operasi begitu untuk mencegar orang melakukan zina. Tapi bila ambil gambar pasangan khalwat, ambil pulak video mereka dalam keadaan terbuka aurat, tengking mereka dan lain-lain, adakah cara ni yang Islam anjurkan? Inikah satu-satunya cara atau jalan untuk membasmi masalah khalwat lelaki dan wanita?

Bukankah Islam menganjurkan untuk menjaga aib orang lain? Mana perginya tindakan menjaga aib pasangan yang berkhalwat? Atau mereka memang layak untuk diaibkan supaya tak mengulangi perbuatan tu lagi? Siapa kita untuk menghukum mengatakan mereka layak untuk diaibkan?

Tu belum masuk ada orang yang mati terjatuh dari tempat yang tinggi akibat nak mengelak daripada tertangkap khalwat. Siapa yang nak bertanggungjawab? 

Masalah kita ialah, Islam di sini lain, di tempat lain pulak lain. Jadi Islam yang macam mana yang betulnya? Jika kita mengaku Islam sebab mak bapak kita Islam, nama pun nama Islam dan dalam kad pengenalan tercatat beragama Islam maka kita hanya menjadi Islam ikut-ikutan saja. Kita pun tak pasti apa sebenarnya Islam sebab kita hanya mengikut adat dan budaya masyarakat kita yang disangka mengamalkan ajaran Islam yang benar dan tulen.

Bukan aku mempertikaikan agama atau taraf Islam seseorang cuma melontarkan soalan untuk difikirkan bersama apakah selama ni yang kita buat betul dan mengikut ajaran agama yang sebenar?

Antara Melayu dan Islam, mana lebih dulu? 


No comments:

Post a Comment