26 October 2014

Doktor oh doktor....

Dalam beberapa hari ni saja aku dah pergi ke lebih dua buah klinik dan berjumpa dengan ramai doktor. Separuh daripadanya adalah doktor muda.

Klinik pertama: Doktor muda.

Seperti biasa, dia periksa suhu badan, degupan jantung dan pernafasan. Akhir sekali tekak. Agak lama juga kerana dia tidak mesra dengan kanak-kanak. Jadi susah untuk mendapatkan kerjasama daripada anak aku yang meragam waktu dia nak tengok tekak. 

Selesai periksa semua, dia tanya biasa ambil antibiotik apa dan aku pun menjawab tak tahulah. Mungkin boleh semak dalam rekod tambah aku lagi. 

Dan dia terus berikan antibiotik yang sama jenis dan dos seperti antibiotik kali terakhir aku bawa anak aku ke klinik tu dalam 2-3 bulan lepas disamping ubat demam dan sakit tekak. 

Dua hari berlalu demam anak aku masih belum menunjukkan tanda-tanda reda. Aku ke klinik lain pula dengan membawakan ubat daripada klinik pertama tadi untuk mendapatkan pendapat ke-2. 

Klinik ke-2: Doktor muda.

Kami berbual agak lama sambil dia memeriksa anak aku. Doktor ini seperti teragak-agak apabila aku bertanya tentang sakit anak aku. Dia cadangkan ambil sample darah untuk diuji kalau-kalau ada tanda-tanda demam denggi. Aku tak bersetuju. Ambil darah anak kecik seperti ini bukanlah mudah, jika tak berhati-hati boleh tersalah cucuk dan budak makin meragam. Keduanya, aku bertanya adakah ada tanda-tanda anak aku terkena demam denggi dan dia sendiri tak dapat nak pastikan. Aku perasan, depan dia ada senarai sakit dan jenis-jenis ubat untuk sakit-sakit yang berkenaan. Dia juga 2-3 kali semak. 

Selepas keluarkan ubat daripada klinik pertama tadi, dia berkata dos untuk antibiotik tersebut adalah tinggi dan antibiotik juga dari jenis yang kuat. 8ml sekali sehari membuatkan dia sedikit terkejut kenapa doktor terdahulu boleh terus berikan antibiotik dan jadual pengambilan macam ni. 

Kemudian dia melihat ubat sakit tekak yang diberikan dan memaklumkan kepada aku bahawa ubat berkenaan mengandungi steroid. Aduh, macam-macam. Kemudian dia sarankan untuk berhenti berikan ubat sakit tekak berkenaan dan habiskan saja antibiotik dulu.

Pulang ke rumah aku terus berhentikan pengambilan kesemua ubat-ubatan yang diberikan oleh klinik pertama dan ke-2 tadi. Malamnya aku ke klinik ke-3 pula. Harapan aku dapat berjumpa dengan doktor yang lebih senior.

Klinik ke-3: Doktor senior.

Seorang doktor India, muka macam Mr Bean, tenang dan rileks. Selepas memeriksa keadaan anak aku, dia melayan soalan-soalan aku pula. 

Katanya demam anak aku seperti viral fever iaitu demam yang disebabkan oleh virus. Dia kata tak perlu berikan apa-apa ubat dulu, hanya paracetamol. Aku bertanyakan tentang kemungkinan denggi, beliau menyangkal dengan rileks. Katanya kalau denggi, lebih baik jangan makan antibiotik kerana berkemungkinan besar boleh mendorong denggi semakin parah. 

Aku bertanya dan dia terus menjawab. Nada suaranya sungguh bersahaja dan banyak kali nasihatkan aku supaya jangan terlalu bergantung pada ubat-ubatan. Beliau sarankan supaya anak aku terus diberi makan walaupun dalam kuantiti yang sedikit tapi kerap. Air kosong juga perlu sentiasa minum untuk menggantikan cecair badan yang hilang akiba dihidrasi. 

Kami terus berbual dan sekali lagi aku bertanyakan mengikut pengalamannya adakah anak aku mempunya tanda-tanda atau simptom-simptom denggi. Beliau tersenyum dan berkata "Saya lihat anak awak macam tak demam saja. Jangan bimbang, ini bukan demam denggi".

Sedikit lega. Pulang ke rumah dan aku hanya berikan anak aku paracetamol dan nampak ada sedikit perubahan namun apabila hilang kesan ubat, demamnya kembali dan suhunya panas semula. Jam 2.30 pagi sekali lagi aku berikan ubat berkenaan kerana suhunya sangat panas. Lebih kurang jam 4 pagi, suhu turun seperti normal dan aku boleh lelapkan mata. Jam 6 pagi, badan masih tidak panas. Jam 9 pagi, panas kembali menyerang. Fed up jugak aku dengan suhu panas yang langsung tak mau mengalah ni. 

Lepas mandikan dia pada pagi tadi, suhu badannya beransur normal dan kembali bertenaga selepas makan beberapa suap nasi bersama sup. Mandi memang berkesan dalam menurunkan suhu kanak-kanak tinggal sanggup dengan tidak saja sebab dia akan menjerit-jerit kesejukan. Jadi untuk cara yang tidak menyakitkan sangat, mulakan daripada kaki dan membawa ke atas. 

Lepas mandi dan makan, anak aku seperti selsema. Aku anggap mungkin kesan selalu mandi agaknya. Tapi agak terkejut sikit sebab hingusnya bercampur darah. 3-4 kali hembus masih ada kesan darah yang keluar namun warnanya tidak seperti darah segar. Merah pekat kehitaman dan lama-kelamaan menjadi warna coklat dan hilang. 

Keadaan anak aku lepas mandi memang macam orang tak demam dah, cumanya tidaklah aktif sangat. Mata masih kuyu sikit. Kami kemudian pergi ke klinik ke-4 di KL.

Klinik ke-4: Doktor senior.

Kali ni doktor Melayu dan wajahnya ceria saja. Sambil bercerita dia memeriksa keadaan anak aku. Dia seorang yang tidak mengejar masa dan suka berbual dengan pesakit berkenaan masalah yang dihadapi. Aku pun menceritakan tentang apa yang berlaku sebelum ni dan pagi tadi. Malas pula nak tunjuk ubat daripada klinik lain sebelum ni. 

Menurut doktor ni, tonsil anak aku merah sedikit dan terdapat blocking pada hidungnya. Dia tak bercakap banyak tentang pendarahan pagi tadi kerana mungkin aku tidak bertanya lebih lanjut. Cuma katanya ia tidak serius. Biasalah sebab dihidrasi. 

Aku bertanya juga tentang kemungkinan denggi, beliau menyanggah. Katanya kalau denggi nak jalan pun tak larat, sendi-sendi semuanya sakit, kepala pening teruk, mata juga tak boleh lihat cahaya yang terang. Anak aku tiada simptom-simptom denggi. Beliau juga tidak memberikan ubat demam kerana telah diberikan oleh klinik sebelum ni. Cuma dia berikan antibiotik baru. Kali ni 5ml dan 3 kali sehari. Berbeza betul dengan klinik pertama tadi.

Dia memang mesra walaupun cakapnya laju dan lepas. Pesakit boleh bertanya apa saja dan dia akan berikan jawapan mengikut pengalamannya. Mengingatkan aku tentang seorang doktor pakar di HKL satu masa dulu. Anak aku pernah ditahan di wad kanak-kanak kerana demam panas dan sawan. Sewaktu doktor-doktor lain tak mampu memberikan jawapan yang memuaskan, seorang doktor pakar lelaki ni menjelaskan keadaan anak aku dengan baik sekali. Dia tak membuatkan aku dan isteri risau. Pendapatnya jelas dan penerangannya terang. Tidak teragak-agak dan tidak kelihatan seperti keliru.

Pulang ke rumah, anak aku yang tidur dalam kereta tadi rupanya panas kembali. Lepas mandikan dia, berikan makan 4-5 suap bersama sup dan berikan ubat. Terbaring saja lemah. Tak sampai sejam bangun berjalan. Berpeluh-peluh. Waktu dia baring tu aku ada suluh ke dalam hidung dia dan nampaklah blocking yang doktor tadi maksudkan. Ia bukan hingus tapi seperti sesuatu membengkak di dalam hidung yang membuatkan saluran udara di sebelah kiri hidungnya tersumbat. Sebab tu kalau tidur bunyi macam orang tua berdengkur.

Setakat ni, tanda-tanda pemulihan semakin jelas dan punca dia sakit pun telah diketahui. Jadi, teruskan makan ubat sampai habis dan tengoklah macam mana nanti. Tadi aku ada semak kat google berkenaan jenis antibiotik yang diberikan oleh klinik ni dan aku dapati memang antibiotik ni biasa diberikan untuk merawat tonsil yang bengkak.

Kadang-kala aku terfikir, doktor ni pun macam bomoh jugak. Kalau muda-muda, pengalaman kurang leceh juga pesakit dibuatnya. 

Bomoh pun kalau baru jadi bomoh macam-macam idea keluar tapi pengalaman tetaplah penting. Ada orang kata pengalaman merupakan guru yang paling baik. 

Mungkin saja.....

Ubat (baca drugs), seperti juga ayat masing-masing tidak memberi bekas. Yang menyembuhkan tetap juga Dia dan sebagai manusia, tugas kita adalah untuk mencari jalan ke arah kesembuhan selain daripada tu adalah urusan Dia....


22 September 2014

Orang yang beriman

Syurga dan neraka itu tiada dalam rukun iman jelas sekali kerana kedua-duanya bukan untuk diimani. Ia langsung tiada kaitan dengan iman, Lalu untuk apa pula?

Orang yang beriman tidak takut pada pengurangan pahala atau pertambahan dosa. Bukan bermakna mereka maksum atau kebal dosa. Cuba fahamkan perlahan-lahan. Kalau ambil masa bertahun pun, silakan. Jangan terburu-buru.

Dosa dan pahala adalah untuk manusia, bukan untuk orang-orang yang beriman. Kerana orang yang beriman hanya berkehendakkan Dia saja. Tiada yang lain.

05 September 2014

Kemerdekaan dan dajjal

Kemerdekaan itu diperjuangkan dengan darah dan keringat, dan ia haruslah disambut dengan bijaksana oleh masyarakat yang merdeka. Penjajah adalah si dajjalnya dan segala senjata meriam dan kapal-kapal perangnya adalah yakjuj dan makjujnya masing-masing.

Dan kalau zaman moden kini yakjuj dan makjujnya adalah pesawat-pesawat tempur dan kapal-kapal perang yang canggih.

Di Iraq misalnya, dajjalnya adalah Amerika dan tentera bersekutu manakala yakjuj dan makjujnya adalah pesawat, kereta kebal dan kapal perang mereka.

25 August 2014

Nama-nama



"Serulah nama Allah atau Ar-Rahman, yang mana sahaja kamu serukan kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia"... (17:110)

18 August 2014

Meninggal pada hari Jumaat.

Benarkah orang yang meninggal pada hari atau malam Jumaat diangkat siksa kuburnya?

"Tidaklah seseorang muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur" - HR At-Turmizi

Adalah lebih baik jangan ditelan mentah-mentah hadis tersebut sebelum benar-benar memahaminya. Rasulallah SAW merupakan seorang yang berlapik cakapnya, lembut pekertinya. Jika hadis berkenaan diterjemah bulat-bulat seperti alih-bahasa, tentulah ia tidak masuk akal kerana jika seorang muslim yang tengah meragut lalu jatuh dan meninggal adakah dia juga akan termasuk golongan yang diselamatkan daripada siksa kubur? Atau tiadalah orang muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan yang baik-baik saja? Tak masuk akal langsung. Bukan hadisnya, tapi tafsiran melulunya. Kematian yang membawa keselamatan bukanlah tergantung kepada hari apa seseorang itu mati tetapi amal perbuatannya sewaktu hidup di dunia.

Apakah rahsia hari Jumaat itu sendiri?

Jumaat merupakan hari yang terciptanya bangsa manusia. Manusia pertama diciptakan sempurna sifatnya, bukan seperti binatang. Jadi Jumaat adalah hari dijadikan manusia dengan sifat-sifat kemanusiaan. Tahu apa kemanusiaan? Sudah tentulah kemanusiaan tidak sama dengana kebinatangan. 

Walaupun dia seorang pencuri, pelacur atau pendosa setinggi gunung sekalipun, namun jika dia meninggal dalam keadaan rohaninya kembali menjadi manusia, maka dia dikatakan meninggal pada hari Jumaat. Hari kemanusiaan.

Orang yang rohaniahnya telah kembali seperti mana asalnya maka apakah akan ada lagi soal jawab kubur bagi dirinya?

Nasi pun kalau nak makan kena tanak dulu, tak boleh terus makan bang!

25 July 2014

Al-Quran


Yang biasa kita baca dan kita sebut kitab suci itu sebenarnya disebut Al Quran atau lembaran/mushaf? Kalau itu disebut kitab suci, dimana letak kesuciannya?
Sebenarnya, Al-Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim. (Al-Ankabut :49)

Al-Quran yang sebenarnya itu adalah nur yang ada di Luh Mahfuz. Ia adalah cahaya Ketuhanan dan bukan tulisan, bukan huruf, bukan juga kata-kata tetapi Nur. Ketika diturunkan ke dada (qolbu) seorang hamba ia di sebut Al Furqon,yg membezakan antara yang haq dan yang batil.
Dari sudut Bahasa, Nur diterjemahkan dan disampaikan ke dalam bahasa manusia oleh sang penyampai iaitu Jibril (Jabar-il), lalu diucapkan melalui mulut oleh Rasulullah SAW dan disebut sebagai kalamullah. Kalam tersebut masuk ke telinga lalu dirakam oleh otak, di ingat dan disebut Az Zikr, lalu ditulis dalam lembaran-lembaran dan kemudian disebut Al Mushaf (lembaran-lembaran yang dijilid ini disebut Kitabullah). Dengan kata lain Al-Quran bermetamorfosa menjadi bentuk yang kita kenal sekarang ini. Ini pendapat aku je la, soal betul salah tu bukan urusan aku. Urusan aku menulis saja.

24 July 2014

Keyakinan dalam beragama


Keyakinan dalam beragama bukanlah suatu perkara yang selalu masuk akal. Banyak perkara-perkara yang tak masuk akal. Contohnya, bila dikatakan bahawa "batu pun bertasbih memuji Allah" Maka secara hukum akal perkara seumpama itu adalah mustahil dan dikatakan masuk akal. Tapi bila tak yakin, kita boleh jadi kafir disebabkannya. Bukankah seisi langit dan bumi semuanya bertasbih kpd Allah?

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah” (64:1)

Tapi bila perkara tu kita yakini (tanpa ilmu), keyakinan kita juga keyakinan palsu dan buat-buat sebab kita meyakini sesuatu tanpa faham asal-usul keyakinan tu. Ia hanya sebuah keyakinan buta. Sama saja teruknya, yang tak meyakini dan yang meyakini membuta-tuli.

Ke manakah roh-roh orang yang mati pergi?


Kebanyakannya berada di antara bumi dan langit seperti anai-anai yg berselerakan dalam gelap. Roh-roh ini mencari cahaya kerana telah sesat dalam gelap gelita akibat daripada perbuatan mereka waktu hidup di dunia dulu. Mereka ingin kembali kepada jasadnya tapi terdinding (barzah) manakala jasadnya telah hancur dimakan tanah. Nak menghadap Tuhan tapi tak dapat sebab Tuhan Yang Maha Suci hanya menerima roh-roh yang suci saja.
Rujuk Surah 89:27-30

Akhirnya roh-roh itu akan berusaha masuk ke jasad-jasad orang yang masih hidup tapi mereka takkan mampu menguasainya, hanya menempel seperti cendawan/parasit. Siapa yang rajin mengikuti perkembangan perubatan/rawatan Islam biasanya akan mudah faham. Bila ada gangguan roh maka perawat memang takkan mampu menghancurkannya dengan ayat-ayat Al Quran.
Roh-roh yang menempel ni tadi akan mempengaruhi orang-orang yang masih hidup agar menjadi seperti mereka. Jika roh penjudi maka mereka akan mencari penjudi juga. Begitulah dengan roh pencuri akan mencari pencuri, roh pelacur akan mencari pelacur. Demikianlah jiwa-jiwa yang sejenis mereka saling satu menyatu dan yang berlainan jenis akan saling tolak-menolak.

Afala tatafakkarun


Buat orang-orang yang memperTUHANkan dalil,  cuba renungkan:
Untuk apa Allah suruh kita berfikir jika dalil sudah lengkap semuanya ada dalam Al Quran?

Nak tahu kenapa? Sebab Al Quran yang sebenarnya itu merupakan NUR bukannya tulisan dan NUR itu ada dalam diri masing-masing.
“Afala tatafakkarun?”

23 July 2014

Syahadah


“Syahidallahu annahu laa illa hailla huwa wal malaaikatu wa ulul ilmi qoiman bilkisti laa illa hailla huwal 'azizul hakim” (3 :18)
Jadi siapa yang bersaksi/bersyahadah??

Siapa yang kenal dirinya maka akan kenal Tuhannya


"Siapa yang kenal dirinya maka akan kenal Tuhannya"
Kamu orang yang sangat ego bila menyangka bahwa "diri" itu adalah terbatas pada diri kamu sendiri, malah tak ada yang dikenali kecuali keakuannya sendiri. "Diri", siapakah diri itu yang dimaksudkan tu?

Semuanya adalah satu. Alam semesta inilah diri kita, tumbuh-tumbuhan dan binatang juga diri kita, semua manusia juga diri kita. Diri itu luas tak terbatas diri peribadi. Maka makrifat/pengenalan seseorang terhadap dirinya adalah juga seluas pandangan dan jangkauan makna "diri" baginya.
Jika yang kamu kira diri adalah dirimu sendiri, maka sampai bila kamu pun tak akan kenal Tuhan. Yang kamu sangka Tuhan itu ialah "keakuanmu" sendiri.

Engkau dan aku sama, satu diri, bukan dua atau tiga, tetapi SATU diri.

Menipu demi kebaikan


Waktu kecil aku memang tak pernah suka pun makan sayur. Tapi apa yg dilakukan arwah emak aku? Dia galakkan aku menonton cerita Poppye dan berkata "kalau makan sayur nanti boleh jadi kuat macam Poppye". Aku pun apa lagi, selalu mintak dia masakkan sayur bayam untuk aku dengan harapan boleh jadi kuat serta-merta macam Poppye. Bayangkan sup bayam ungu makan dengan nasi, apa saja yang rasa?
Tapi bila dah besar, aku mula sedar yang aku takkan boleh jadi Poppy pun. Sebenarnya aku ditipu saja tapi demi kebaikan aku juga. Sayur penting buat tubuh badan supaya seimbang khasiatnya.

Mereka yang bijak dalam ilmu pun melakukan hal yang serupa juga seperti mana emak aku buat iaitu menipu orang lain demi kebaikan orang tersebut. Mungkin perkataan 'menipu' tu kurang tepat tapi itulah yang paling sesuai.
Malah Tuhan juga berbuat demikian untuk kebaikan umatNya. Sebagaimana layaknya orang awam, memang akan terngiur dengan janji-janji pahala dan syurga atas suatu ibadah. Dulu aku pun sama sampai aku faham bahawa yang sebetulnya kita tak perlupun masuk syurga tapi syurgalah yang sepatutnyanya masuk ke dalam diri kita.

Fikirkan tentang janji-janji untuk mendapat layanan para bidadari syurga yang cantik-cantik sambil minum air susu/arak dan makan yang sedap-sedap, berkelamin dan sebagainya, siapa yang tak terngiur? Bohong le kalau kata tak.
Sebenarnya nikmat yang jauh lebih hakiki ialah memandang wajah Allah Azza Wa Jalla.

Semoga kamu cepat dewasa.......

Qorban



Syariatnya adalah menyembelih haiwan qorban manakala hakikatnya pula adalah agar kita menghilangkan sifat-sifat haiwaniah dalam diri. Bukan sekadar "pesta daging" dan makan puas-puas.
Agama itu mudah. Dari yang zahir selalu terselit pesan-pesan maknawiah yang dalam. Yang berakal menggunakan akalnya demi memahami suatu "pesanan" dibalik sesuatu. Yang kurang berakal sibuk memperdebatkan ukuran kambing, warna kambing, jenis kelamin kambing dan sebagainya, seperti orang Israel ketika diperintahkan untuk menyembelih sapi. Mereka bukan mencari/melihat makna disebalik tetapi sibuk berdebat bagaimana rupa sapinya. Akhirnya rupa sapi mirip rupa mereka sendiri.

Bermain FB / Ber'FB


Ramai orang fikir, seseorang yang kaki FB merupakan sebagai orang yang teruk atau takde kebaikan sangat atau tak mungkin kenal Allah.
Soalan aku: Apakah Allah itu boleh dihijab/dibatasi oleh FB???

Hebat betul FB kalau mampu menghijab Allah. Atau mungkin dianggap kerana sewaktu ber’FB’ seseorang tak mungkin sedang berzikir. Sebenarnya manusia tu mampu berzikir sambil buat apa pun sebab kesedaran ruhaninya tak pernah ke mana-mana pun, hanya ada dalam dirinya sendiri.
Ber’Fb’ tu takde kena-mengena pun dengan tinggi rendah keimanan seseorang.

Jalan terpantas menujuNYA


Bukankah seorang suami juga hamba Allah dan dilantik sebagai imam keluarga? Apakah itu tak cukup lagi untuk difahami oleh seorang isteri untuk mengabdikan diri kepada suaminya?
Membuatkan kopi panas dan memberi ciuman hangat dipagi hari adalah pengabdian yang terhebat dari seorang wanita yang bergelar isteri kerana jalan yang terdekat bagi seorang isteri menuju Allah sebenarnya adalah dengan mengabdi kepada suaminya. Itulah rahsianya. Bila bernikah ia dikatakan telah menjadi separuh daripada agamamu, separuh jalan untuk kamu menujuNYA.

Itulah jalan paling dekat bagi seorang wanita menujuNYA, walaupun ada jalan lain tapi jalan-jalan tersebut lebih jauh.


Lihat zaman atuk/nenek/moyang kita waktu dulu. Sang nenek sentiasa saja sediakan minuman buat sang suaminya tanpa diminta pun. Kasih sayang mereka amat sukar kita tangkap dengan pandangan mata kasar kerana halusnya budi pekerti mereka. Wanita dulu-dulu mana ada sibuk nak bertutup sana sini macam sekarang yang kononnya menjaga aurat tapi lupa aurat yang sebenar-benarnya tu di mana...

20 July 2014

Membatu


Dalam  hal beribadah, yang paling utama bagi seseorang ialah "ketulusan" hatinya sendiri tapi ramai yg melatih agar fasihnya bacaan, betul sebutan panjang harakat dan sebagainya. Padahal satu rakaat yg betul2 tulus itu boleh melebihi semua rakaat solat sepanjang hidupnya. Ketika seseorang semakin mengenal TUHANnya, maka dia akan mengenali apa yang paling utama tu, dan mendahulukannya sebab keperluan yg paling utama tu jika tak dipenuhi, dia pasti akan “mati". Dalam hal ini yg mati adalah hatinya…… yg mengeras dan membatu.

Solat Berjama'ah

Dalam solat sebenarnya tidak ada yang namanya "solat berjama’ah" walaupun secara zahirnya kamu melihat orang ramai berjama’ah. Ini kerana dalam solat tu sendiri fikiran dan hati manusia tu berbeza-beza. Ada yang memikirkan seliparnya takut hilang, ada yang memikirkan hutangnya, memikirkan kecurangannya dan lain-lain.

Zahirnya kelihatan berjamaah namun hakikatnya solat tu tetap "solat sendiri-sendiri" saja. Hubungan manusia dengan Tuhan tu pada hakikatnya tidak ada yang namanya jama'ah, sendiri-sendiri aje.

16 July 2014

Mengapa ia tidak dibukukan dahulu?


Tahukah kamu bahawa sejak dulu kala rasulullah SAW tak pernah mahu Qur'an ditulis dan dibukukan.

Fahamkah kamu apa sebabnya?

Kerana tak ingin Qur'an menjadi tulisan-tulisan hampa tanpa makna mendalam lalu manusia mempertuhankan tulisan-tulisan itu tapi tak mendapatkan sedikit pun cahaya daripadanya.

Rasul mengharapkan agar kamu mendapatkan cahayanya Qur'an, mengerti perbuatan Qur'an dalam hidupmu. Walau tak tertulis namun dapat kamu hayati dan rasakan, maka "rasamu" itu akan membimbingmu kepada kebenaran sejati. Walau tidak tertulis namun dapat dibaca dengan sucinya hati, sucinya fikiran dan dalam dzikir dan fikir, qoim dan daim.

Kerana pengikut Islam makin banyaklah terpaksa dijilid dan dibukukan.

Titik Ba

Ba itu adalah samudra batin, iaitu sesuatu yang ada di dalam diri sendiri, tiada berupa namun dapat kamu fahami dalam dirimu sendiri. Bukan ini itu namun dapat kamu mengerti adanya secara haqqul yakin dalam dirimu sendiri. Itulah batin.

Dibawah huruf Ba itu ada titik. Maksudnya adalah di dalam samudra batiniah itu ada satu titik iaitu satu titik khayal dalam batin yang sulit sekali dijelaskan dengan kata kata.

Titik di bawah huruf Ba itu adalah huruf nun yang diperkecil menjadi titik. Maksudnya di dalam samudra batin kita itu ada satu titik yang berisi nun. Nun itu adalah nur iaitu lautan cahaya ilahiyah (uluhiyah) namun bukan cahaya sebagaimana lampu neon tetapi cahaya yang dimaksud dengan iman sejati tanpa dapat digambar-gambarkan. Walau demikian dapat dimengerti dengan hati dan fikiran yang jernih.

Di atas nun itu ada sebuah titik. Titik itu adalah huruf Ha yang diperkecil. Ditengah huruf Ha itu hanya ada kekosongan yang tak dapat dikata katakan iaitu sunyi sesunyinya, kosong sekosongnya. Di mana pengertian tentang jati diri dan tentang TUHAN akan difahami oleh siapapun tanpa terkecuali tatkala ia mampu mencapainya.

ba ==> nun ==> ha ==> kosong

Di dalam batin itu ada setitik cahaya dan di dalam setitik cahaya itu ada kekosongan yang asing tak dikenali, hanya dapat dimengerti dalam bahasa ‘rasa’ yang sejati. Itulah kenyataan tentang TUHAN. Tak perlu sibuk mencari lagi walau seluruh kitab dikaji, semua guru kamu berguru akhirnya akan menuju apa yang dikatakan ini.

Mudah-mudahan faham. "RASAkan bukan fikirkan"!

Mendirikan solat dan menunaikan zakat







Mendirikan solat dan menunaikan zakat


Mendirikan solat dan mengerjakan solat itu berbeza.


Mengerjakan solat bererti melaksanakan solat itu sedangkan mendirikan solat itu bererti membuat solat itu menjadi tegak berdiri. Solat itu hanya dapat berdiri dan tegak jika tidak memiliki unsur kelalaian.


Lalainya solat itu terletak pada lalainya hati dari memandang Allah dalam segala suatu aspek kehidupan. Hanya jika kelalaian itu sudah lenyap, barulah solat itu dapat didirikan oleh seseorang.


Membayar zakat dan menunaikan zakat itu berbeza.


Membayar zakat itu ertinya kamu membayar zakat lalu selesai urusan. Menunaikan zakat itu pula bererti membuat jadi tunai setiap zakatmu. Tunai itu maksudnya adalah suatu wujud perasaan lega, segar, seolah-olah seperti org yang sedang buang air besar. Lega yang seperti itulah. Tanpa mengharapkan apa-apa balasan/keuntungan daripada yang dibuangkan.


Kerana perasaan lega, sedap dan suka dalam zakat itulah wujud nyata dari bersihnya hati yang tak terlalu terikat erat oleh merasa memiliki duniawi.


Lalu timbul rasa senang bahagia dalam mengeluarkan zakat itu bukan semata hanya kewajipan tapi senang kerana "TERBEBASKAN"nya jiwa dari ikatan dunia. Itulah maksud tunai dari sebuah zakat.



Iqro


Iqro' = bacalah
Membaca itu tidak mesti tulisan-tulisan, boleh juga membaca keadaan dan situasi, membaca perasaan hati serta fikiran.
Membaca adalah tahap awal sebelum melangkah ke sesi berikutnya kerana berikutnya mesti menterjemahkan apa yang telah dibaca bilamana itu bahasa yang asing ditelinga kita.
Baca lalu terjemahkan, maknakan dengan kesungguhan hati, lalu mesti dikaji dalam renungan dan tafakur yang berulang-ulang apa yang telah diterjemahkan dan dimaknakan itu.
Setelah dikaji secara cermat barulah muncul kesimpulan-kesimpulan yang membawa kamu kepada sebuah pemahaman untuk memahami apa yang dibaca.
Pemahaman saja tidak cukup untuk memenuhi hasrat ingin tahu, ia haruslah dihayati dan dirasakan lebih dalam lagi, mengenali cita rasa dari setiap bacaan sebab seorang pelukis itu dikenali dari lukisannya dari karya2nya. Demikian Tuhan pun dapat dikenali dari karya-karyaNYA.
Dengan merasakan itulah menjadi kenal yang disebalik setiap huruf demi huruf yang terangkai. Setelah itu semua, maka perlu di ‘nyatakan’ dalam tindakan dan perbuatan-perbuatan.
Jangan iqro' melulu, perlu mengikut kelas-kelasnya, tingkatan demi tingkatan.

Solat vs Sembahyang



Yang dimaksud dengan solat itu bukan yang 5 waktu tu. Itu disebut sembahyang, iaitu menyembah Sang Hyang (Tuhan) seperti mana seolah-olah Sang Hyang ada dihadapan kamu. Itulah yang disebut ihsan.

Sembahyang pada hakikatnya adalah dorongan yang muncul dari sifat malakut dalam diri yang selalu mendorong untuk “menghamba”.



Ihsan pula sebenarnya hanyalah "seolah-olah melihat Tuhan, tapi belum lagi benar-benar melihat Tuhan. Ihsan adalah berhayal dalam khayalan Ketuhanan.

Yang disebut solat itu adalah sholu, iaitu tersambung/terhubung. Tiada lagi terpisah dengan Allah. Maka ynag demikian sifatnya solat itu sebenarnya adalah 24 jam, 7 hari seminggu, 365 hari setahun, iaitu tanpa henti. Itu yang dikatakan daiman abada.

Maka fahamilah apa itu solat dan apa itu sembahyang.





15 July 2014

Bahasa


Bahasa makrifat adalah bahasa nurani, dimana saling memahami, kasih sayang dan cinta, sedih gembira meluncur tanpa kata-kata dan tanpa suara namun tertangkap oleh sebuah kelembutan jiwa.
 
Dalam bahasa makrifat itulah sirr Allah meluap membanjiri segenap ruang dan waktu.

Dalam bahasa ini engkau tak harus bertatap muka dahulu denganKU, berkenalan dahulu denganKU, namun nyata adanya cinta itu mengalir kedalam hatimu dan kesejukan engkau rasakan.........
 
Tutuplah mulutmu, tutup matamu, tutup telingamu, jangan difikirkan tapi dirasakan. Barulah engkau mendapatiKU sangat dekat, lebih dekat dari urat lehermu sendiri........