08 October 2011

Bajet 2012

Rata-rata orang bercakap tentang Bajet 2012. Betul, bajet kali ni banyak membantu rakyat. Alhamdulillah. Pada masa yang sama ia kelihatan membantu kroni juga apabila kedai 1Malaysia diberikan subsidi untuk menjual barang pada harga 40% lebih murah daripada harga pasaran. Ini juga bagus. Yang tak bagusnya kedai runcit lain bakal lingkup jika perlaksanaannya tak dititikberatkan.



Pelbagai lapisan rakyat mendapat manfaat seperti bonus setengah bulan gaji, bayaran perkhidmatan bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dimansuhkan, yuran sekolah terus dihapuskan dan mereka yang belajar daripada darjah 1 hingga tingkatan 5 mendapat RM100. Ini bagus. Banyak lain faedah yang diberikan kepada rakyat termasuk pesara.

Sayangkan kerajaan tak umumkan langkah-langkah yang bakal diambil untuk memperkasakan sumber kewangan mereka. Bajet terus defisit dengan jangkaan sekitar 4.7% daripada KDNK. Maknanya kita berbelanja lebih daripada pendapatan yang dapat dijana. Itupun kalau semuanya berjalan seperti apa yang dirancangkan. Jika ada ketirisan seperti rasuah dan sebagainya, angka tersebut adalah hanya angka semata-mata.


Walau apa pun, rakyat harus optimis. Merebut segala peluang yang ada. Salah satu sebab utama mengapa begitu banyak faedah diberikan kepada mereka dalam bajet kali ni ialah pilihanraya semakin hampir. Suara-suara rakyat yang inginkan perubahan didengari di sana sini. Syabas juga kepada PR kerana mempengaruhi (walaupun pihak kerajaan takkan mengaku) bajet kali ini. Tujuannya adalah untuk kebaikan juga. Apa salahnya. Mana yang baik untuk kita, kita ambil.


Jangan jadi macam sesetengah Melayu yang berkata, "kalau tak mau bonus, jangan ambil". Ayat ni tak relevan lagi pada waktu ini sebab minda orang ramai makin terbuka. Kenyataan tersebut hanya sesuai jika internet tiada dan majoriti rakyat masih membaca 'utusan' dan menjadikannya sebagai sumber utama maklumat mereka. Tak salah pun kalau ada yang komen, "setengah bulan je bonus?" Kita tiada hak nak mempertikaikan pendapat dia sebagai mana kita rasa dia tiada hak untuk mempertikaikan pendapat kita. Jadi, lebih baik hormat saja pendapat orang lain.

Apa pun, jadilah orang yang berfikir daripada orang yang bersyukur tak tentu pasal dengan mengikut apa saja yang diarahkan. Lihat saja bagaimana tanah Kg Baru diambil secara halus atas nama pembangunan. Jika penduduk Kg. Baru membantah, adakah mereka tak bersyukur? Kalau nak jadi bodoh memang tak salah. Tapi mengajak orang menjadi bodoh sama bukanlah satu perkara yang betul untuk dilakukan!

04 October 2011

Sunyi

Aku paling suka menulis waktu semua orang dah tidur. Sunyi. Cengkerik pun dah tidur sekali gamaknya.

Apa yang kita kejar sebenarnya dalam dunia ni? Masing-masing ada matlamatnya. Nak beli rumah, beli kereta, beli macam-macam. Tapi tu semua dunia punya hal. Selagi termampu, kejarlah. Siapa nak larang. Mereka yang rajin akan dapat habuannya. Mereka yang malas, teruslah dalam keadaan begitu. Tiada siapa yang akan mengubah nasibnya melainkan dirinya sendiri.

Tadi secara tak sengaja aku tertengok Buletin Utama. Masih lagi ada berita tentang pembuangan bayi. Kali ni lebih kejam. Bayi tu dicampak dari tingkat 2 sebuah rumah flat. Kesian, makhluk sekecil tu baru nak melihat dunia dibuang begitu saja. Aku terfikir bagaimana si mak bapak anak tu sanggup hidup dengan apa yang telah mereka lakukan. Berzina dah satu hal. Membunuh pula satu hal. Memanglah manusia tu lebih kejam daripada binatang.

Kalau diberi peluang, nak juga aku tanya depan-depan kenapa sanggup buat anak sendiri sedemikian rupa? Adakah kerana anak tu cacat? Adakah kerana ingin tutup malu? Adakah kerana desakan hidup yang semakin menghimpit? Atau adakah sebab-sebab lain yang mewajarkan tindakan sedemikian?

Mereka yang telah berkahwin tentu tahu bagaimana perasaan mengharap untuk memiliki zuriat sendiri. Bagaimana dijaga kandungan sehingga 9 bulan, diperiksa dan diberikan sepenuh perhatian sambil berharap anak dalam kandungan selamat melihat dunia ini. Tapi bagi mereka yang senang-senang 'termengandung' boleh pula tak fikirkan semua ni. Orang lain punyalah susah nak melahirkan tapi mereka yang terlanjur boleh bersalin sendiri saja walaupun dalam tandas.

Ingat! Anak haram tidak berdosa. Tapi ia memerlukan sekurang-kurangnya beberapa keturunan untuk memulihkan susur galur yang telah tercemar dengan berbuatan terkutuk ibu bapanya. Secara tak langsung, anak tu lahir ke dunia dengan menanggung sedikit sebanyak kesan perbuatan ibu bapa mereka. Paling mudah ialah malu. Seorang anak yang dilahirkan bukan melalui perkahwinan yang sah tentu akan berasa malu apabila status sebenar dirinya diketahui oleh orang lain. Ini akan mendorong lebih banyk perbuatan negatif sama ada oleh masyarakat atau anak tu sendiri pada masa depan.


Manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling sempurna. Bukan kerana manusia mempunyai sepuluh jari ataupun rupa paras dan anggota badan yang mencukupi, tapi kerana manusia tu memiliki keseluruhan unsur alam yang tak dimiliki oleh makhluk-makhluk lain. Ini juga membawa maksud, jika ada makhluk lain yang kejam, jahat dan ganas, manusia pun boleh menjadi lebih kejam, jahat dan ganas daripada makhluk tadi. Tapi dalam masa yang sama, ada juga golongan manusia yang boleh menjadi lebih alim dan warak daripada malaikat. Malaikat tak bernafsu jadi tiada sifat 'keakuan' dalam dirinya. Tapi manusia dikurniakan nafsu. Bahagialah buat mereka yang dapat menundukkan nafsu masing-masing.




03 October 2011

sibuk 2

Seperti yang dijanjikan, aku sambung kembali kisah tentang sedekah.

Bila sebut sedekah, terbayang wang ringgit. Kenapa? Secara tak sedar, wang ringgit adalah antara benda yang kita paling sayang. Memberikan benda yang paling kita sayang kepada orang lain adalah satu perbuatan yang mulia. Apa lagi jika disertakan dengan niat yang ikhlas.

Dulu aku pernah cakap, ikhlas tu macam buang air besar. Ada orang komen suruh aku jangan samakan perbuatan yang mulia tu dengan buang air. Sebenarnya penafsiran masing-masing yang bermasalah. Dalam bahasa mudah, ikhlas tu ialah tidak mengharapkan apa-apa balasan. Kalau buang air besar, adakah kita mengharapkan apa-apa daripada apa yang kita buang? Kiasannya begitulah, yang kau pergi samakan 100% tu buat apa?

Wang ringgit dikategorikan sebagai harta. Apabila disebut harta, tentulah sayang. Nak dapatkan sesuap nasi bukanlah senang, apa lagi nak beri pada orang lain. Tapi ramai juga yang sumbangkan pakaian lusuh (2nd hand) yang nak dibuang. Katanya sedekah. Terpulanglah. Allah yang menentukan, bukan manusia.

Orang yang selalu bersedekah, insya'Allah rezekinya berkat. Selain daripada membantu golongan yang memerlukan sedekah juga adalah salah satu ubat hati. Cintakan harta samalah dengan cintakan dunia. Kalau dah cintakan dunia, jangan mimpilah nak kenal Al-Haq. Sedekah mengajar hati dan nafsu supaya berkorban, tunduk dan patuh pada perintahNya disamping mendapat pahala seperti yang dijanjikan.

Semua orang pun tahu sedekah tu amalan yang mulia. Nak cerita lebih-lebih pun benda yang sama saja. Mari bercerita dengan lebih dalam sikit.

Sedekah adalah penolak bala, pengganda rezeki dan penyubur pahala. Tak percaya? Cubalah sendiri dan lihat saja hasilnya. Ingatlah pernah satu ketika Saidina Ali pernah mempunyai 4 dirham lalu beliau menyedekahkan 1 dirham pada waktu malam, 1 dirham pada waktu siang, 1 dirhamsecara terang-terangan dan 1 dirham lagi secara diam-diam.














01 October 2011

sibuk

Jam menunjukkan dah sepertiga malam. Memanglah keadaan sunyi sepi waktu ni. Jauh disudut suatu tempat pasti ada yang tengah tidur dalam kelaparan. Dalam manusia sibuk bercakaran tentang politik dan ekonomi negara, ada yang terlupa tentang segolongan manusia yang kurang berkemampuan untuk hidup.

Ada saja anak-anak yang tak mampu lagi ke sekolah. Terpaksa mencari tin-tin kosong untuk dijual. Malah lebih teruk lagi, ada yang mungkin mencuri untuk sesuap nasi. Pasti ada walaupun negara ni kelihatan maju dan kaya.

Kadang-kala kita tak perlu pergi jauh-jauh. Jika kita amati keadaan sekeliling dan peka dengan persekitaran kita, pasti kita akan jumpa golongan ni. Cuma hati kita saja was-was dan berat untuk membantu mereka. Was-was tu ada pada sesiapa juga termasuk aku yang bercerita ni.

Bagi mereka yang ada anak dan mungkin pernah melalui zaman-zaman kemelesetan dulu pasti tahu dan faham keadaan ni. Dalam kita berlumba-lumba mengumpul kekayaan, golongan miskin sering kali ketinggalan dalam diari hidup kita. Walhal, ada hak mereka dalam harta pencarian kita. Ada yang mengeluh mereka juga susah, jadi bagaimana nak menderma?

Entahlah, masing-masing lebih faham tentang keadaan diri sendiri. Tapi aku pernah diberitahu bahawa betapa besarnya faedah bersedekah tu. Malam ni akku agak penat, jadi esok saja aku sambung tentang sedekah ni.

19 September 2011

Mimpi

Ramai orang riuh-rendah dalam isu pemansuhan ISA. Bagi sesetengah pihak, mereka menganggap ia adalah satu kemenangan dalam perjuangan. Bagi sesetengah pihak yang lain mereka mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA?Bagi sesetengah orang pula, ISA adalah perlu dalam menangani isu keselamatan negara. Bagi sebahagian yang lain pula, akta ISA tidak lagi relevan kerana seringkali digunakan untuk menjaga kepentingan politik beberapa individu diperingkat tertinggi dalam kepimpinan negara. Ada juga golongan manusia bodoh yang tak ada pendirian tentang ISA.

Aku? Ini bukan langsung satu kemenangan. Tunjukkan kepada aku manusia mana yang dengan mudah mahu mengaku kalah? Sekurang-kurangnya pemansuhan ISA ini akan dilihat sebagai satu kemenangan kepada pihak yang berjuang supaya akta ini dihapuskan. Supaya golongan yang berjuang ni merasa mereka telah mencapai kemenangan yang pertama. Supaya mereka rasa pandangan dan perjuangan mereka diiktiraf. Sekurang-kurangnya itulah muslihata yang ingin ditunjukkan.

Percayalah, ini bukan satu kemenangan. Ini juga bukan satu pengiktirafan kepada kamu wahai pejuang-pejuang jalanan. Ini gula-gula untuk kamu nikmati sebentar saja kerana bukan sifat manusia yang berpolitik mengaku kalah dengan mudah. Percaturan kali ni semakin hebat. Ia semakin kompleks. Kamu pun terus bersorak keriangan kerana fikir kamu telah menang. Sedarkah kamu apa strategi mereka seterusnya?

Jika akta ini benar-benar dilenyapkan, maka mereka yang sedang ditahan tentu saja dibebaskan. Jika ISA benar-benar dimansuhkan, kem kamunting tentu saja ditutup atau diubahsuai menjadi kem bina negara atau kem lain. Ini kamu terloncat-loncat macam beruk kenapa? Betul ke kamu dah menang?


Mereka bukan bodoh untuk senang-senang menyerah kalah. Jangan fikir mereka pemimpin sedia ada takut dengan jumlah sokongan yang kononnya berkurangan. Tahukah kamu dengan memansuhkan ISA ini pun secara tak langsung membuatkan sesetengah dikalangan mereka sendiri merasa tak senang.

Jangan sekali-kali kamu fikir mereka dah nak kalah hanya dengan sebab mereka mansuhkan ISA. Kononnya mereka takut nanti mereka pula yang akan kena ISA. Ini langsung tak boleh diterima. Mereka masih kukuh di atas sana. Masih ramai lagi orang kampung bodoh yang menjadi penyokong tegar mereka. Itu baru orang kampung. Bagaimana dengan para kaki bodek, kaki ampu dan badut-badut yang sedia diperkudakan? Jangan mudah merasa kamu dah kuat, kawan.

Pemansuhan ISA ini memang satu muslihat. Kamu tunggu dan lihat saja. Itu lebih baik daripada terlompat-lompat macam beruk sambil bersorak kemenangan. Ia adalah satu percaturan rapi yang telah mereka rancangkan untuk memastikan sokongan terhadap mereka bertambah dan dalam masa yang sama kamu rasa kamu yang akan menang.

Katalah apa saja. Aku takkan anggap ini sebagai satu kemenangan. Kemenangan yang sebenar ialah apabila kamu (pembangkang) berjaya menawan Putrajaya. Selagi belum, kemenangan kamu tu hanya mimpi disiang hari saja. Jika ingin berjaya, berhenti bermimpi!


04 September 2011

Lagi-lagi tok belagak

Punyalah banyak posting aku, posting tentang Tok Belagak (TB) jugak yang paling ramai pembaca. Tu menunjukkan TB ramai peminat dan ramai orang pun minat perkara-perkara mistik.

Baru kejap tadi aku berkunjung ke blog TB. Entry terbaru TB ialah "Ada yang cari pasal". Hehe.... TB macam magnet. Bila dah mendabik dada, mesti ada yang datang menguji. Tak mungkin ada sorang je manusia yang handal. Ramai lagi yang ingin jadi handal.

Semoga semuanya selamat. Lebih selamat kalau kita kurangkan sifat takbur atau belagak agar tak terlalu menarik perhatian musuh. Hang Tuah yang hebat pun hilang ditelan zaman. Hang Jebat yang digeruni pun tumpas di tangan Hang Tuah. Tak payahlah nak bandingkan kita manusia zaman ini dengan panglima-panglima tu.

Alang-alang bercakap tentang ni, di bawah adalah ilustrasi wajah Panglima Melayu yang sangat masyhur di suatu masa dulu, Allahyarham Hang Tuah, yang dilukis oleh seseorang yang pernah bertemu dengan panglima ini di alam lain. Orang yang hanya mahu dipanggil Ustaz Tamar, di suatu tempat di kawasan Sabak Bernam. Beliau adalah ahli dalam alam sebelah sana.

Terpulanglah pada pendapat dan pandangan masing-masing. Cuma, jangan cepat perlekehkan pendapat atau pandangan orang lain sebelum periksa. Al-Fatihah kepada panglima ini.



03 September 2011

Komunis

Dah raya pun. Salam lebaran buat semua. Sekarang tengah hot topik Mat Sabu sokong komunis. Malas la aku nak komen lebih-lebih. Melayu ramai yang bodoh. Nanti mereka cepat salah sangka pula kalau baca tulisan aku.

Jawapannya cukup mudah sebenarnya. Tapi ramai yang malas fikir. Mereka lebih senang kena suap daripada cari sendiri. Kenapa British beria-ria sangat buat propaganda tentang kejahatan komunis? Kalau dah jahat, takkanlah orang yang digelar komunis mendapat sokongan rakyat satu masa dulu? Mana API & AWAS? Kenapa sejarah tentang mereka terus dikuburkan? Mereka adalah antara yang paling awal menentang British. Adakah mereka juga digelar komunis?

Orang kita bila sebut komunis terus terbayang Cina pakai topi bintang tiga. Tapi British pula menganggap siapa yang menentang mereka adalah komunis. Kalau ketua kampung pada waktu tu tak bersetuju dengan British maka ketua kampung pun komunis. Abdullah CD, Dato Bahaman, Tok Janggut dan Mat Kilau juga merupakan komunis terawal. Ada orang sedar?

Siapa komunis sebenarnya? Tanggungjawab kita ialah mencari ilmu. Jadi, ilmu tentang ini kenalah cari. Jangan tunggu nak kena suap saja. Lepas tu nak marah-marah dan maki orang lain tak tentu pasal kononnya terlalu patriotik.

Lihat sejarah siapa yang berjuang mengangkat senjata dan siapa pula yang mendapat nama? Indonesia merdeka dengan darah, kita merdeka dengan menurut perintah penjajah. Kenapa? Sebab ada orang dah nampak peluang di situ yang mana orang lain tak nampak. Ada orang fikir apa salahnya turut kata penjajah asalkan diberi kuasa?

Perlembagaan kita pun penjajah buatkan. Lagu negara kita pun copycat lagu lain. Bendera kita pun mirip bendera Amerika. Amerika tiru kitakah atau kebetulan? Ah, macam-macam. Berapa banyak fakta sejarah yang benar disembunyikan kononnya untuk mengelakkan kekecohan?

Jika Shamsiah Fakeh bukan komunis kenapa beliau menentang askar kita? - ada yang persoalkan. Jawapannya cukup mudah. Askar kita dilatih untuk memburu 'komunis' a.k.a pihak atau individu yang menentang British. Dalam hutan, apa pilihan yang mereka ada? Dibunuh atau membunuh. Itu saja. Tak timbul soal Melayu bunuh Melayu pun kerana ada pihak diperalatkan untuk satu tujuan yang telah dikaburi oleh pihak yang berkepentingan.

Terpulang pada diri masing-masing sama ada untuk cari maklumat sendiri atau menjadi bangsa yang terus terima bulat-bulat dengan tanggapan orang lain pasti buat yang terbaik untuk dirinya. Buat apa susah-susahkan diri nak cari itu ini. Terima saja apa yang ada.

Sekarang mari kita lihat wajah-wajah 'komunis' awal.


dato_sagor_01

Ini pula Dato Bahaman, datuk/moyang kepada Abdullah CD yang digelar komunis.


Ini tok Janggut yang menderhaka kepada British. Beliau juga 'komunis' mengikut tafsiran siapa lawan British, dia adalah komunis.


Ini pula 'komunis' yang mempunyai ilmu agama yang cukup tinggi, Mat Kilau.



Sekarang puas hati lihat wajah-wajah komunis zaman awal pendudukan British di Tanah Melayu? Tepuk dada, tanya selera. Fikir guna otak, bukan kepala lutut.