08 July 2010

ESQ oh ESQ

sebenarnya ramai yang terkejut apabila Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa bahawa ajaran yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar melalui ESQ165 dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam. alasan menyeleweng dijelaskan melalui laman web Pejabat Mufti yang berkenaan.

terus-terang aku katakan bahawa alasan yang diberikan langsung tak betul. sebagai orang yang pernah mengikuti kursus ESQ165, tak pernah sekali pun mereka (tenaga pengajar ESQ165) mengajarkan apa yang didakwa oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tu. yang pasti ada sesuatu yang mufti tersebut tidak puas hati dengan Pak Ary sehingga mengeluarkan fatwa yang taka berasas macam tu.

lapan bekas mufti daripada lapan buah negeri yang pernah mengikuti kursus ini mengatakan ESQ165 adalah bagus dan tidak menyeleweng daripada ajaran sunnah wal jamaah, bagaimana seorang mufti yang tidak pernah langsung mengikuti kursus berkenaan boleh membenarkan fatwa tersebut diwartakan?

inilah punca umat Islam kita tak boleh bersatu. tak perlu sibuk-sibuk nak fikir pasal palestin dan israel, masalah pepecahan dalam negara kita pun belum dapat kita atasi. undang-undang Islam di setiap negeri tidak pernah seragam. kalau betul salah, minta saja Majlis Fatwa Kebangsaan wartakan fatwa yang mengharamkan ESQ165 di negara ni. tp kenapa tak berlaku? adakah ESQ165 haram di tanah jajahan wilayah persekutuan dan bila keluar, halal?

kepada mereka yang cepat melatah, rileks la. hisap rokok yang dah jelas haram korang bedal juga. mentang-mentang dalam ESQ165 ada mengingatkan dalam minda manusia ada 'god spot' terus jadi point untuk mengatakan bahawa ESQ165 ikut ajaran buddha. god spot yang dimaksudkan oleh team ESQ165 adalah ruang dalam fikiran manusia di mana semua manusia memerlukan tuhan. bukankah ni lumrah setiap manusia? tapi apa yang Mufti Wilayah Persekutuan faham dengan god spot ialah tuhan berada di spot tersebut.

tapi point utama yang menjurus kepada pengharaman kursus ESQ di kuala lumpur ialah kononnya ia menyebarkan fahaman islam liberal yang menganggap semua agama adalah sama. walhal, ESQ cukup menekankan bahawa islam adalah agama yang benar dan segala yang berlaku adalah kehendak Allah dan tujuan hidup adalah untuk Allah jua. ESQ membuka minda tentang wujudnya Allah dengan bukti-bukti sains. ini termasuk asal kejadian alam seperti yang diterangkan dalam al quran. cuma sains barat yang tak mengaku adanya tuhan tapi bukan ESQ.

bila masa pula ajaran ESQ mendakwa nabi-nabi mendapat hidayah/kebenaran melalui pencarian dan pengalaman? yang diajarkan dalam ESQ adalah membenarkan apa yang dialami oleh nabi muhammad saw dalam peristiwa israk dan mikraj. peristiwa tersebut jika diceritakan kepada orang lain mungkin sukar untuk mereka membayangkan, tapi melalui cara dan pendedahan ESQ, berapa banyak mata yang mengeluarkan air mata mengenang kekuasaan Allah dalam peristiwa tersebut? ini pun salah?

SQ, spritual quotion dikatakan ciptaan yahudi justeru itu ESQ dikatakan menyeleweng kerana menggunakan perkataan 'SQ' dan mengikut yahudi. jika inilah faktanya, apa beza jika mufti wilayah persekutuan memakin tali leher seperti kebanyakan yahudi? yahudi pun pakai cermin mata. mereka pun makan atas pinggan. jadi adakah mufti seorang yahudi?

kemudian dikatakan ESQ menekankan konsep suara hati. kononnya bertindak mengikut suara hati adalah mengikut ajaran kristian. suara hati yang diperkatakan dalam ESQ adalah suara yang berkehendakan kepada kebaikan dalam setiap manusia. contohnya, rasa belas kasihan melihat orang yang hidup susah lalu terlintas untuk menolongnya. suara hati adalah bisikan hati ataupun naluri semulajadi manusia yang berkehendakan kebaikan walaupun dia tidak baik. contohnya, perompak pasti tidak mahu dirompak. penjenayah pasti tidak mahu anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi penjenayah juga. itu suara hati yang dimaksudkan.

bila masa pula ESQ menjadikan logik sebagai rujukan utama sedangkan dalam kursus yang mereka anjurkan mereka sentiasa menggunakan ayat al quran untuk menunjukkan kebesaran Allah dan kekuasaanNya?

tidak pernah ESQ mengajarkan untuk mengingkari mukjizat nabi-nabi hanya kerana menganggapnya tidak dapat diterima akal. buat apa mereka dengan susah payah cuba membenarkan peristiwa israk mikraj kepada para peserta? mereka juga menceritakan dengan penuh perasaan bagaimana peristiwa nabi musa dikejar firaun lalu lautan terbelah dengan izin Allah dan menenggelamkan firaun dan tenteranya. malah kursus ESQ juga mengajak peserta memahami bahawa kekuasaan Allah meliputi segala-galanya. apabila Dia berkehendak maka cukuplah bagiNya dengan berkata kun faya kun lalu terjadilah ia.

tiada dalam ajaran ESQ tentang kod 19 seperti yang didakwa oleh pejabat mufti ini. mereka tidak pernah menyokong dan mengajak para peserta mengikuti kod tu. apa benda kod 19 tu pun aku rasa semua peserta tak tau.

mereka tidak pernah menyamakan amalan membaca al fatihah sebanyak 17 kali sehari seperti ajaran agama lain di dunia. konsep zero mind process juga telah dengan niat jahat disalah tafsir dengan mengatakan mukjizat boleh berlaku kepada sesiapa juga. aku tegaskan di sini konsep zero mind process yang diajar oleh team ESQ adalah konsep penyerahan diri kepada Allah semata-mata dengan tidak memikirkan perkara lain. contoh mudah ialah apabila kita memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah, maka kembalilah kepada Allah dengan melupakan yang lain. dalam bahasa arab, zero mind process adalah khusyuk. salah ke kalau mereka ajar bagaimana hendak khusyuk? pihak pejabat mufti secara suka hati mentafsirkan konsep ini mengikut nafsu serta perasaan mereka semata-mata.

kalimah syahadah tidak pernah disamakan dengan triple one seperti yang didakwa. bagaimana mereka nak menyamakan dengan triple one sedangkan mereka menerangkan dengan menyentuh perasaan para peserta bahawa betapa besarnya kalimah tersebut. kalimah tersebut membawa makna yang mendalam iaitu menafikan wujudnya tuhan selain Allah dan nabi muhammad adalah pesuruh Allah. mana ada triple one? mufti wilayah persekutuan dengar sendiri atau main cekup saja?

bukan aku nak membela sangat ESQ tapi yang salah harus disalahkan, yang benar harus ditegakkan. 8 orang bekas mufti semua kata kursus ESQ adalah bagus dan terbaik, apa jadah dengan seorang mufti yang tak pernah pergi kursus ni main serkap jarang saja? buat fatwa berdasarkan imaginasi dan pertuduhan yang tak berlaku.

kalau dikaji balik, mufti wilayah persekutuan memang sudah lama tidak senang dengan kehadiran ESQ di negara ni. mungkin beliau berpendapat sekiranya ESQ tidak disekat maka ustaz-ustaz tempatan akan susah cari makan kerana tiada siapa yang nak mendengar ceramah mereka. itu hanya imaginasi beliau saja. realitinya penyampaian ESQ adalah unik, terkesan, mendalam dan menyentuh mana-mana insan yang dihatinya berkehendakkan Tuhan. ESQ mengajar kita mengenal siapa diri kita dan siapa tuhan kita.

segala pertuduhan yang ada dalam fatwa yang dikeluarkan oleh pejabat mufti terbabit adalah berasaskan fitnah semata-mata dan tidak lebih daripada berniat jahat.

ada pihak yang tak senang dengan orang yang telah merasakan betapa nikmatnya mengalirkan air mata menyesali kesilapan diri dan mengenangkan kekuasaan Allah kerana dirinya mungkin tak sampai ke tahap tu lagi.

meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya dipanggil zalim. jika segala pertuduhan yang dibuat oleh pihak pejabat mufti tidak benar, maka mereka bukan saja menzalimi malah turut memfitnah. kita tak perlukan seseorang yang mempunyai ijazah atau phd dalam bidang syariah untuk menentukan mana fitnah dan mana betul.

ESQ tak pernah paksa para peserta untuk menangis apalagi meratap. mereka yang sedar dan insaf kesilapan diri secara menyeluruh akan mengalirkan air mata secara automatik. malah ada yang berteriak menyesali diri. sekurang-kurangnya kalau kita tak pernah solat malam dan menangis, di sini kita boleh rasa betapa nikmatnya mengalirkan air mata kerana Allah. terpulanglah kepada sesiapa pun untuk mentafsirkan ESQ ni program yang macam mana. cuma, carilah asas yang kukuh dan banyakkanlah bertanya. jangan buat tuduhan melulu kemudian keluarkan fatwa. yang mana rasa ESQ mengarut, tak bagus dan tak mengikuti kehendak syariah, tinggalkan sahaja. tetapi bagi sesiapa yang yakin berada di pihak yang benar, tiada apa yang perlu dirisaukan. yang Maha Berilmu tetaplah Allah dan Dialah yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment