15 June 2011

Perjuangan (sambungan)

Aku mula mengkaji cerita-cerita sejarah negara ni. Semua pejuang tanahair yang benar-benar berjuang mengangkat senjata menentang penjajah digelar pengganas, pemberontak atau penderhaka. Semua! Dan aku kaitkan dengan keadaan zaman ni. Ia masih sama. Bila ada seseorang daripada kalangan kita yang ingin mengusulkan sesuatu yang baik, dia akan ditentang, dilawan, dimalukan dan dijatuhkan dengan apa cara sekalipun. Hanya mereka yang buta hati saja yang tak nampak. Perkara ini sudah menjadi ikutan sejak zaman British lagi.

Kita lihat negara lain berperang. Dibom dan dizalimi. Negara kita pun tak kurang hebatnya satu masa dulu. Bangsa kita pun pernah ditindas oleh Inggeris yang kita agungkan sangat. Punca utama perjuangan menentang penjajah menjadi susah ialah kerana terdapat tali barut dalam masyarakat. Dan tali barut ni selalunya Melayu yang berfikiran singkat. Nak cari jalan mudah dengan merosakkan bangsa sendiri. Sampai sekarang bangsa kita masih mempunyai sikap sebegini.

Lihat perjuangan pengganas bernama Tok Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lain. Mereka berjuang dengan nyawa mereka sendiri demi menghalau penjajah. Tapi ada pula segolongan bangsa Melayu yang beranggapan bangsa kita takkan maju kalau tak diperintah oleh Inggeris. Ini Melayu bangsat namanya.

Ramai pejuang kemerdekaan lain yang dilabel sebagai pengganas. Malah ada di antara mereka langsung tak dibenarkan kembali ke negara ini. Hak mereka sebagai warganegara juga tak diperdulikan. Label zaman penjajah terus melekat sampai sekarang. Hanya beberapa golongan saja yang tahu kisah disebalik kemerdekaan yang kita kecapi.

Kalau semua Melayu bersatu, tak termampu dek Inggeris menjajah negara ni. Tapi apa nak dikata lagi, dah ditakdirkan macam tu. Aku bukan nak tegakkan apa-apa fahaman. Sebab yang terbaik adalah apa yang diajarkan melalui Al-Quran dan Sunnah. Cuma aku melihat betapa ramai pejuang kemerdekaan (sejak mula-mula Inggeris masuk ke Tanah Melayu lagi) tak dihargai dan perjuangan mereka telah disalahertikan.

Dan yang menariknya, pada pendapat aku la, kita masih lagi boleh melihat pejuang seperti ni pada hari ni. Walaupun Inggeris dah takde, negara dah merdeka tapi perjuangan menuntut keadilan masih berlaku seperti mana zaman dulu juga. Perang kali ni tak menggunakan senjata tapi seluruh media cetak, elektronik dan internet. Orang yang memperjuangkan hak diri dan bangsanya akan terus dianggap sebagai pengkhianat, pengacau, penderhaka dan sebagainya. Tapi sungguhpun macam tu, mereka terus berjuang walaupun jauh disudut hati mereka juga tahu kemenangan sangat susah untuk dicapai.

Merekalah yang layak digelarkan pejuang bangsa. Mereka telah mempertaruhkan seluruh hidup mereka untuk menegakkan keadilan, memperjuangkan hak mereka dan orang lain tanpa memperdulikan risiko kehilangan apa yang mereka ada.


No comments:

Post a Comment